Thursday 8 September 2011

Salam Aidilfitri

Posting ini sepatutnya diterbitkan pada 29 Ramadhan 1432 H yang lalu.

Selamat hari raya Aidilfitri diucapkan kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat. Kita baru sahaja melalui tarbiah Ramadhan yang merupakan suatu proses dalam melahirkan hamba Allah yang bertaqwa. Justeru anak muda ingin menyeru kepada semua agar mengambil perhatian terhadap perkara-perkara berikut:

1) Penuhi hari raya kita dengan amal ibadat disamping menjauhi larangan Allah seperti membuka aurat, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, hiburan melampau dan sebagainya.

2) Buktikan diri kita sebagai hamba Allah bukannya hamba Ramadhan. Jangan pada bulan Ramadhan sahaja kita melawan hawa nafsu sedangkan bila menyambut hari raya maka kita menjadi hamba kepada nafsu yang menyuruh kepada kejahatan.

3)Jangan jadi golongan yang keluar daripada Ramadhan dalam keadaan dosanya belum lagi diampuni oleh Allah. Tidakkah kita berasa malu menyambut hari raya dengan amalan maksiat sedangkan hari raya adalah anugerah Allah. Kita tidak mahu termasuk dalam golongan yang jauh daripada rahmat Allah.


4) Gema takbir membesarkan Allah dan tahmid memuji Allah yang berkumandang setiap kali tibanya hari raya mestilah meresap ke dalam hati sanubari bukan setakat disebut di mulut sahaja. Pastikan laungan hari raya itu dijadikan ikrar taat setia kepada Allah dalam setiap tindak tanduk kita. Laksanakan apa yang dinyatakan di dalam gema takbir dan tahmid itu.

5) Nikmat hari raya ini mesti digunakan untuk merapatkan lagi hubungan kekeluargaan dan silaturrahim sesama kita. Jadikanlah hari raya untuk menyuburkan kembali kasih sayang supaya kita tidak termasuk dalam golongan yang memutuskan silaturrahim.

6) Ingatlah Islam meletakkan ibubapa di tempat yang mulia. Keredhaan Allah terletak kepada keredhaan ibubapa, kemurkaan Allah terletak kepada kemurkaan ibubapa. Mohonlah keampunan daripada mereka. Sekiranya ibubapa kita telah meninggal dunia jangan lupa untuk kita doakan kesejahteraan mereka ketika berada di alam barzakh dan akhirat nanti.

7) Berlalunya Ramadhan bukan bererti berpisahnya kita daripada hidup bersama al-Quran. Bukan sahaja dari sudut pembacaan malah meliputi pemahaman seterusnya pelaksanaan. Terusakan membaca, mentadabbur dan paling penting melaksanakan sistem al-Quran dalam setiap aspek kehidupan termasuk ibadat khusus, ekonomi, politik, sosial dan sebagainya.

8) Takbir kemenangan yang dilaungkan adalah tanda kejayaan dalam Tarbiah Ramadhan yang telah kita sama-sama lalui. Tapi jangan kita lupa kepada saudara kita yang berada di Palestin, Iraq, Afghanistan, Selatan Thailand yang dilanda peperangan. Tidak ketinggalan krisis kebuluran dan perang saudara di Somalia yang memerlukan perhatian dan bantuan yang sewajarnya daripada kita semua. Juga beberapa negara umat Islam yang lain sedang menghadapi perang saudara kerana mahu menggantikan pemimpin yang zalim seperti di Syria setelah musuh Islam memainkan peranan besar dalam menggulingkan Gaddafi di Libya. Tumbangnya pemimpin diktator satu demi satu terutama di bumi Arab dan Afrika bermula di Tunisia diikuti Mesir merebak ke Yaman menyedarkan semua pihak bahawa tiada kerajaan yang mampu kekal terutama jika diperintah secara zalim. Kita doakan semoga pertukaran pemimpin baru lebih menguntungkan Islam dan umatnya bukannya meneruskan lagi kezaliman dan jahiliah pemimpin sebelum ini.

0 comments: