Thursday 24 February 2011

Tinggalkan perkara yang tidak bermanfaat

Sebagai pejuang Islam, kita pasti tahu tentang hakikat bahawa kewajipan jauh lebih banyak dari masa yang ada kepada kita . Kata-kata ini (al waajibat aksara minal awqaat) sering diungkapkan oleh Imam Hassan al Banna sehingga ia menjadi mutiara bagi seorang yang bergelar pejuang.

Justeru itu , kita diajar supaya tidak membazirkan masa dengan perkara yang tidak mendatangkan faedah. Bersesuaian dengan mutiara kata itu, saya ingin membawakan satu hadis Nabi Muhammad SAW iaitu, "Sebahagian dari keindahan Islam seseorang itu ialah meninggalkan perkara yang tidak mendatangkan manafaat", Hadis Hasan Riwayat Imam Tarmizi , Ibnu Majah dan Imam Malik.

Perkara yang tidak mendatangkan manafaat ini tidak semestinya hanya dari perkara haram semata-mata tetapi juga dari perkara-perkara halal menurut hukum syara' namun ia tidak mendatang manafaat kepada kita. Contoh mudah ialah berbual kosong di kedai kopi, tidur hingga mencecah 7 atau 8 jam sehari, termenung dan berangan-angan . Sungguhpun perbuatan ini tidak membawa kepada haram tetapi ia telah mengambil banyak dari masa kita yang sememangnya terhad.

Gejala ini masih membelenggu sebahagian dari anggota jamaah Islam. Akhirnya banyak tugasan jamaah dan tanggungjawab atau amanah tidak berjaya dilaksanakan dengan baik. Kalau pun siap, ianya disiapkan dalam keadaan tergesa-gesa mengejar waktu dan akhirnya tidak menghasilkan kualiti yang tinggi dalam prestasi kerja sebagai seorang yang bergelar pejuang.

Sebagai seorang pejuang, kita sewajarnya peka dalam perkara seperti ini, kerana fail kita masih bertimbun di pejabat dan ianya belum disemak. Rancangan kerja kita telah berhabuk kerana belum diterjemah dalam tindakan. Lebih malang jika pejabat kita juga telah bersawang kerana lama kita tidak beroperasi. Kita seperti tidak ada masa untuk bertindak. Tidak tahu ke mana habisnya masa kita. Namun apa yang pasti, matahari terbit dan tenggelam dengan begitu pantas sedang tanggungjawab dan amanah masih terlalu banyak yang belum dilunaskan.

Cuba kita hitung sejenak bagaimana masa kita berlalu sementara tugas kita sebagai pejuang menuntut komitmen terhadap masa yang begitu tinggi daripada kita. Termenung di bilik air, khayal di kusyen empuk, asyik di kaca TV, berbual kosong di kedai kopi, berangan di meja makan, leka berchatting, tidur melewati batas, alpa bermain game, melayari blog-blog yang tidak mendatangkan faedah dan maklumat, bergayut di telefon dan berSMS dalam perkara yang tidak penting.

Sayugianya wahai sahabat seperjuangan, Tinggalkanlah perkara yang tidak mendatangkan manafaat kepada dirimu! Demikian itu sebahagian dari keindahan dan kecantikan Islam seseorang. Begitulah terlebih wajar bagi seorang muslim meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah swt lantaran ia pasti tidak mendatangkan manafaat .

Wednesday 23 February 2011

Halal darah Muammar Gaddafi - Qardhawi


Sambil meyifatkan Muammar Gaddafi sebagai seorang yang sudah gila kerana sanggup menggunakan tembakan dari udara untuk membunuh rakyatnya yang berdemonstrasi menentangnya, Dr. Yusuf Al-Qardhawi berfatwa bahawa beliau hendaklah dibunuh. Dengan kata lain, halal darahnya. Bagi melaksanakan fatwanya, beliau menyeru mana-mana anggota tentera yang punya kesempatan membenamkan peluru maut kepada Muammar Gaddafi hendaklah segera melakukan. Menurutnya, dengan cara tersebut, ia menyelamatkan lebih ramai rakyat Libya daripada menjadi mangsa lelaki gila dan zalim bernama Muammar Gaddafi.

Dr. Yusuf Al-Qardhawi menyeru rakyat Libya agar tetap penderian dan bersabar mempertahankan perjuangan mereka untuk memerdekakan diri. Menurutnya, yang gugur terkorban di kalangan mereka adalah tergolong kalangan para syuhada. Sambil menyifatkan perbuatan Muammar Gaddafi mengarahkan tembakan udara membunuh rakyatnya sangat kejam dan gila, katanya Israil sendiri tidak melakukan hal seperti itu ketika menyerang Gaza.

Sementara anak Muammar Gaddafi, Saiful Islam yang begitu kuat mempertahankan bapanya, Dr. Yusuf Al-Qardhawi menyifatkannya sebagai "pedang jahiliyyah" dan bukannya "pedang Islam". Beliau berkata demikian kepada saluran Al-Jazeera.

Sumber : lahaonline

Tuesday 22 February 2011

Wanita dan malu.


"Apakah istimewanya wanita sehingga begitu kuat menarik perhatian lelaki..."

Kebiasaan kita mendengar, lelaki diistilahkan sebagai kumbang dan wanita pula sebagai bunga, kalau kumbang suka kepada bunga, lelaki tentulah suka kepada wanita. Sejak remaja lagi keinginan lelaki kepada wanita sudah berputik. Lalu wanita menjadi sasaran usikan lelaki, baik di sekolah, di jalan raya, di pasar raya, diperhentian bas dan bahkan boleh dikatakan di mana-mana ruang dan peluang. Selagi usikan itu tidak diberi perhatian oleh wanita itu mereka akan terus mencuba dan terus mencuba.

Dalam sebuah hadith Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud; "Terdapat 99 bahagian tarikan pada wanita berbanding lelaki, lalu Allah kurniakan ke atas mereka sifat malu." (Hadith riwayat Baihaqi). Walau apa pun yang dilakukan oleh wanita pasti akan mendapat perhatian lelaki. Jika berbuat baik akan dikagumi, apabila berbuat jahat diminati, apabila memakai pakaian menutup aurat dilihat menawan, apabila berpakaian seksi dilihat menggoda, dan pelbagai lagi menarik perhatian.

Oleh sebab itu Allah SWT mengurniakan sifat malu kepada wanita. Dengan sifat malu itu mereka akan berfikir panjang sebelum melakukan sebarang tindakan.
Kalau hendak berbuat jahat dia akan memikirkan kalau-kalau ada orang yang akan nampak, hendak mendedahkan aurat dia takut kalau orang mengganggunya dan dan hendak berjalan seorang dia takut kalau ada orang mengusiknya. Begitulah peranan malu yang boleh membantu dalam tindak tanduk seorang wanita.

Tetapi kalau tidak tahu malu? Tentulah mereka tidak akan memikirkan semua itu. Pedulikan apa orang kata, pedulikan kalau orang tengok, tidak kisah kalau orang mengganggu dan mengusik, bahkan mereka merasa senang, seronok dan bahagia apabila dalam keadaan sebegitu.

Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud;
"Jika engkau tidak malu, buatlah sesuka hatimu." Hadis ini merupakan sindiran dalam tegahan. Sifat malu itu adalah pokok akhlak yang mulia dan budi pekerti yang terpuji. Tidak payah diletakkan sifat malu ini di atas neraca syariat, malah neraca akal pun sudah mengakui malu sebagai satu sifat yang perlu ada dlm diri manusia.

Barangkali wanita hari ini kebanyakannya tidak tahu malu atau kurang malu.
Atas sebab itu mereka sanggup melakukan apa saja dosa dan maksiat. Atau barangkali sifat malu yg dikurniakan Allah itu sudah tidak berfungsi sepenuhnya. Kalau demikian bererti kurangnya iman di dada mereka. Jelasnya mereka tidak takut kepada Allah, tidak gerun kepada neraka Allah, dan tidak cintakan syurga Allah. Mereka langsung tidak takut dengan hukuman yang bakal Allah timpakan ke atas mereka. Apabila kurangnya iman di dada, maka sifat malu secara automatik akan hilang.

Inilah realiti yg tidak boleh dinafikan, buktinya boleh dilihat dimana-mana sahaja. Melalui media cetak, media elektronik dan bahkan dihadapan mata kita sendiri berbagai ragam kemungkaran berlaku tidak terkecuali dilakukan oleh wanita. Sayang...wanita yg sepatutnya lebih istimewa daripada lelaki, menjadi serendah-rendahnya hanya disebabkan sifat malu tidak berfungsi sepenuhnya. Tetapi percayalah, kalau semua wanita boleh mengekalkan sifat malunya, tentulah mereka akan berpakaian sopan, berakhlak mulia dan ketika itu mereka akan disegani oleh semua pihak. Dengan ini akan terhindarlah gejala buruk yg selalu menimpa kaum wanita.

Sesungguhnya setiap insan itu pasti melakukan kesalahan, dan sebaik2 manusia yang melakukan kesalahan adalah mereka yang bertaubat.

Pembersihan Jiwa

Lazimnya umat Islam mampu untuk melakukan penyucian jasmani setiap hari namun gagal untuk menyucikan rohaniah dan jiwa mereka dalam satu jangka tempoh yang agak lama. Sebagai seorang mukmin,pembersihan jiwa adalah penting dalam kehidupan seharian kerana kita selaku hambaNya yang lemah acapkali melakukan kesilapan dan maksiat sama ada dalam sedar atau tidak disengajakan.Melalui pembersihan jiwa ini, kita dapat menginsafi segala kesilapan yang telah dilakukan, berazam untuk menjadi seorang mukmin yang lebih baik dan seterusnya mengamalkan 'amal makruf wa nahi mungkar'.


Imam Ghazali telah menyenaraikan 4 bahagian yang menjadi asas kepada akhlak yang mulia.
  1. Bijaksana - iaitu bagi seorang hamba Allah adalah puncak dalam membezakan perkara yang baik dan buruk.
  2. Berani - iaitu bilamana seseorang dapat menahan diri dari terus melakukan sesuatu yang buruk.
  3. Adil - iaitu kekuatan dalam jiwa yang dapat mengatasi sifat marah dan apa jua kemahuan syahwat yang ada didalam diri. Mampu membimbing syahwat kepada kebijaksanaan.
  4. Tazkiyatunnafs (pembersihan jiwa) - menahan kemahuan syahwat dengan mendidik supaya tunduk dengan petunjuk akal dan petunjuk wahyu.
Justeru,dengan menegakkan 4 asas ini, insyaAllah akhlak mahmudah yang lain dapat dimiliki oleh individu muslim itu.

Memandangkan betapa besarnya kepentingan tazkiyatunnafs dalam kehidupan,maka timbullah persoalan iaitu ;

Bagaimanakah cara untuk membersihkan jiwa?

  1. Jihad dengan tadribat (latihan). Dalam setiap latihan, sertakan dengan jihad dan kesungguhan. Antara cara yang boleh dilakukan sebagai permulaan adalah dengan memaksa diri untuk berubah. Namun harus diingatkan disini, proses perubahan ini perlu diniatkan hanya kerana Allah dan bukanlah bertujuan untuk membanggakan diri. Riak, 'ujub dan takabbur perlu dijauhi sepenuhnya kerana amalan yang dibayangi dengan unsur-unsur ini akan terbatal.
  2. Menempuh jalan yang berlainan dengan kehendak nafsu dan jiwa. Manusia telah dikurniakan akal dan nafsu dalam menjalani kehidupan. Seringkali akal tunduk kepada tuntutan nafsu kerana kurangnya iman dan amal. Menurut Imam ghazali dalam kitab al-ihya' ulumuddin, hati nurani disebut sebagai nafsu. Ia adalah jiwa manusia yang disifati dengan pelbagai sifat yang berbeza sesuai dengan perubahan keadaannya. 3 kategori nafsu manusia adalah; a) nafsu mutmainnah-tiada rasa utk membuat perkara mungkar dan terpelihara dari penyakit-penyakit hati. b) nafsu lawwamah - punya pertentangan antara membuat perkara yang baik dan keji. c) nafsu amarah - nafsu yang berkehendak dlm melakukan perbuatan yang keji. Oleh itu,mengikut jalan yang berlainan dengan tuntutan nafsu ini bermaksud melawan tuntutan nafsu amarah yang sering mengajak manusia kearah kejahatan.
  3. Jihad dan Pengorbanan. Jihad seringkali dikaitkan dengan pengorbanan. Ianya umpama dua elemen yang tidak dapat dipisahkan. Pengorbanan dalam konteks ini lebih dititik beratkan kepada mengorbanan kesenangan dan keseronokkan 'dunia' dalam meraih kesejahteraan abadi di akhirat.
  4. Yakin dengan pertolongan Allah. Setiap mukmin perlu meyakini bahawa janji Allah adalah benar. Justeru, kita perlu yakin dengan pertolongan Allah. Munajat dan panjatkan doa kepada-Nya dengan penuh azam dan harapan yang seterusnya diiringi dengan usaha dan tawakkal. Banyakkan membaca Al-quran kerana hanya dengan mengingati Allah, jiwa akan menjadi tenang.
  5. Dampingi orang yang soleh. Dengan mendampingi insan-insan seperti ini, kita akan lebih mudah menerima sebarang teguran yang mampu membina sahsiah yang tinggi. Kita juga dapat menimba ilmu agama dari pelbagai aspek selain dapat melakukan ibadah dengan lebih sempurna dengan berkat tunjuk ajar dari mereka.
  6. Menghadiri majlis-majlis ilmu. Tidak dapat dinafikan lagi, dengan menghadiri majlis-majlis ilmu, kita dapat membersihkan jiwa kerana didalam majlis-majlis ilmu terdapat tazkirah dan ilmu pengetahuan yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan seseorang muslim. Selain itu, telah dijanjikan kepada mereka yang pergi ke majlis-majlis ilmu kerana Allah pelbagai balasan yang baik. antara sebahagian dari hadith Rasulullah s.a.w " Barangsiapa yang keluar ke jalan Allah, maka dipermudahkan kepadanya jalan ke syurga...".
Diharapkan kita sama-sama dapat mengambil iktibar. Kalau kita boleh mandi setiap hari, kalau kita boleh gosok gigi 3 kali sehari, kalau kita boleh cuci muka dengan pelbagai pencuci muka. Kenapa tidak kita sucikan hati yang merupakan anggota yang begitu penting sekali dalam menentukan peringkat amalan kita. Sama-samalah kita berdoa agar hati kita sentiasa dibuka dalam menerima hidayah-Nya. Amin.

Sunday 13 February 2011

Usrah 11 Feb 2011

  1. Akidah merupakan asas kepada keimanan yang kukuh kepada Allah SWT. Tanpa akidah yang kukuh mana mungkin seseorang itu dapat beriman kepada Allah dengan sebenar-benar iman.
  2. Dalam hidup ini kita diwajibkan memiliki akidah perjuangan hidup yang sejahtera iaitu seperti akidah perjuangan yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Ramai yang hadam dengan baik tentang akidah asas seperti keimanan kepada Allah, Rasul, Malaikat dan sebagainya namun masih gagal dalam akidah perjuangan mereka.
  3. Mereka berjuang dalam hidup untuk menjaga periuk nasi walaupun sanggup menggadai Islam. Ada yang mengikuti perjuangan Islam namun berjuang kerana pemimpin. Jika pemimpin itu meninggalkan perjuangan Islam, maka mereka juga akan turut bersama. Ada yang berjuang kerana terlalu benci kepada musuh. Tidak kurang juga yang berjuang dengan Islam kerana hanya mengikut orang lain. Semua ini perjuangan yang salah.
  4. Akidah perjuangan yang sebenar adalah kerana Allah. Matlamat perjuangan kerana ingin meraih keredaan Allah. Selain daripada itu, semuanya adalah palsu.
  5. Kelemahan Islam (Gerakan Islam) bukan terbit daripada Islam (perjuangan itu) tetapi terbit daripada orang Islam (pendukungnya). Ajaran Islam itu cukup sempurna dan syumul, namun masih ramai umatnya yang tidak mengamalkannya secara tepat sehingga dipandang serong oleh penganut lain.
  6. Gerakan Islam tidak tampilkan perwatakan gila kuasa. Apa yang penting adalah memikirkan cara untuk mendaulatkan Islam. Itu yang lebih wajib diutamakan.
  7. Pilihanraya hanya ijtihad untuk menang dan mendaulatkan Islam. Ia bukan satu-satunya cara untuk menang. Allah boleh ciptakan pelbagai cara untuk menang. Tapi buat masa ini, di Malaysia pilihanrayalah jalannya.
  8. Berakhlak adalah lebih baik daripada berilmu. Orang kerdil yang sudi ditarbiyyah adalah lebih baik daripada orang besar yang banyak ilmu tapi tidak mahu ditarbiyyah.

Friday 11 February 2011

Maulidur Rasul



  1. Insya’Allah, minggu depan kita akan menyambut hari keputeraan Rasulullah SAW. Sebagaimana yang kita tahu dan faham, sambutan Maulidur Rasul sepatutnya bertujuan untuk memperingati kelahiran baginda Nabi Muhammad s.a.w atau yang lebih penting adalah perlantikan baginda menjadi Rasulullah.
  2. Setakat mengenang tarikh kelahiran semata-mata tanpa mengenengahkan inti risalah, mesej dan perjuangan yang dibawa oleh baginda Nabi adalah suatu kesilapan dalam pendekatan dan memahami keutamaan.
  3. Sambutan maulidur Rasul sangat mesti mensasarkan objektif mengajar mereka yang belum tahu, mengingatkan mereka yang lupa, mengukuhkan pegangan mereka yang telah dan masih ingat serta membetulkan mereka yang tersasar dari kehidupan yang ditunjuk oleh Rasul mereka. Kita ingin menyambut Maulidur Rasul dengan mengembalikan ingatan masyarakat kepada tatacara kehidupan yang layak untuk mendapat belas Allah dan syafaat Nabi di akhirat.
  4. Justeru, mengadakan dan menyertai sebuah perarakan dengan pakaian seragam, mengangkat sepanduk puji-pujian, sambil berselawat belum mampu membawa kita ke arah objektif itu. Bagi saya, banyak perkara yang lebih utama, wajar dan tepat untuk dilakukan seperti program kuliah dan ceramah sama ada di peringkat masjid, surau, sekolah, universiti sememangnya sudah tentu menjadi pilihan utama.
  5. Disamping itu, pihak kerajaan dan pihak swasta sewajarnya menggunakan ruang televisyen dan radio untuk memasuki rumah jutaan rakyat bagi menyampaikan mesej perjuangan Rasulullah.
  6. Ada cukup banyak kaedah yang boleh dianjurkan bagi mengembalikan ingatan kita kepada ajaran Rasulullah. Semua pihak perlu kreatif dalam menyampaikan mesej dakwah ini.
  7. Satu yang perlu ditegaskan bahawa sambutan ini perlu dirayakan setiap masa dan setiap hari bagi membuktikan kita adalah pengikut Rasulullah yang setia.