Wednesday 25 August 2010

Islamnya Malaysia hanya pada nama.

Jika ditelusuri hari-hari yang berlalu ini, aku jarang sekali melihat televisyen kecuali sedikit pada waktu malam dan akhir-akhir ini di siang hari. Agak teruja aku melihat cerita-cerita dan wayang gambar yang dipertontonkan di televisyen pada saat ini. Daripada cerita animasi kanak-kanak sehingga kepada drama bersiri untuk orang dewasa, semua hampir berkisar tentang Islam dan baiknya nilai Islam itu sendiri.


Anak-anak dihidangkan dengan cerita animasi tentang nabi, tauladan dan kisah-kisah yang boleh mengujakan mereka untuk berubah.


Bapa-bapa, ibu-ibu dan golongan dewasa yang lain diberi santapan rohani berupa drama yang menyedarkan. Drama yang selalu melastik iman si dewasa dan pelbagai lagi drama serta cerita yang mampu membuatkan si dewasa berfikir tentang tujuan kejadiannya di dunia ini.

Bahkan, jika ada lagu-lagu hiburan di televisyen hanyalah yang berkonsepkan Islam , ketuhanan dan sebagainya. Hampir tidak ada artis yang berpakaian menjolok mata.

Anehnya, aku gusar melihat perkembangan media masa kini apabila menayangkan cerita-cerita bergenre seperti ini hanya pada Bulan Ramadhan. Paling hebat pun apabila adanya perayaan-perayaan Islam yang lain seperti Maulidur Rasul dan Maal Hijrah barulah suasana seperti ini muncul semula.

Jika anda semua perasan bukan sahaja media yang akan jadi Islamik seketika apabila Bulan Ramadhan atau perayaan Islam yang lainnya tiba, malah kedai-kedai, syarikat-syarikat, agensi-agensi kerajaan dan pelbagai lagi akan turut terkena tempiasnya. Semua akan memikirkan tentang Islam dan mulalah mencari ustaz-ustaz untuk bertanya soalan, perlu ini dan itu serta pelbagai lagi. Paling kurang pun, ustaz itu diguna untuk membaca doa, tahlil dan yasin.

Malangnya, suasana seumpama ini tidak akan kekal seiring dengan perjalanan masa itu. Lihat sajalah nanti, selepas Ramadhan ini tv-tv kita akan mula menayangkan program-program maksiat semula. Semua yang ingat tentang Islam tadi akan lupa semula dan kembali kepada perangai jahat mereka.

Semuanya berlaku dek kerana Malaysia melihat Islam ini hanya pada masa-masa tertentu. Gunanya agama yang suci ini hanya ketika dan waktu tertentu. Tidak untuk sehari-hari dan setiap masa.

Oh pemerintahku, sedarkanlah rakyat yang ada dibawah jagaanmu ini tentang Islam itu yang sebenar. Jangan biarkan mereka hanyut dengan fikrah yang tidak betul. Kita bimbang, engkau lebih banyak diazab oleh Allah nanti berbanding si rakyat.

Monday 23 August 2010

Ramadhan tanpa solat

Beberapa hari yang lalu, aku dan seorang sahabatku merancang untuk ke Labuan. Kami putuskan untuk ke Kota Kinabalu dan kemudian naik feri terus ke Labuan. Semasa dalam perjalanan pergi ke Kota Kinabalu, kami terpaksa berbuka (buka puasa) di tepi jalan dekat Telupid. Selepas menyantap sedikit juadah yang dibawa bekal daripada Sandakan, kami meneruskan perjalanan.


gambar hiasan

Di sepanjang perjalanan kami menuju ke Kota Kinabalu, rupanya bukan kami sahaja yang berbuka di tepi jalan. Ada ramai lagi rombongan musafir yang sama berbuka di tepi jalan. Ada yang duduk di "bucket" kereta pacuan empat roda, abang-abang lori yang berkumpul ramai-ramai dan berbuka bersama, serta beberapa rombongan lagi yang turut berbuka di tepi jalan.

Cantik sungguh suasana itu. Orang amat peduli akan ibadah puasa.

Suasana ini hanya wujud semasa Ramadhan dan untuk ibadah puasa sahaja. Jika ibadah lain yang lebih penting seperti solat tidak pula dipedulikan sangat. Jarang sekali kita dengan orang awam akan tanya kawannya yang lain seperti dialog ini, "kau sudah solat?" atau, "kau solat ka hari ini?", ataupun dialog-dialog yang lain. Tapi kalu puasa, dialog-dialog ini sering sekali kita dengar.

Sedih apabila melihat saudara kita yang lain tidak faham yang man lebih penting antara solat dan puasa. Solat adalah tiang agama, jika puasa tapi tidak solat....maka sia-sia puasa kita. Begitulah juga dengan amalan yang lain. Jika rajin buat kebaikan, tapi tidak solat...pahalanya tidak ada. Amalan itu hanya jadi seperti debu-debu di atas lantai. Apabila angin datang, debu pun terbang.

Huh..ruginya.

Alangkah baiknya, jika solat juga kita jadikan seperti Ramadhan. Ia diwar-warkan di dalam media dan iklan-iklan. Pemerintah mewujudkan akta atau undang-undang tentang solat. Contohnya, Muslim yang tidak solat satu waktu akan dipenjara 1 bulan, dan pelbagai lagi yang boleh dibuat oleh kita.

Tapi, bila solat dianggap tidak penting..beginilah yang terjadi seperti hari ini.

Alhamdulillah, aku dan sahabatku selamat tiba di Kota Kinabalu petang itu, kemudian solat dan makan malam.

Thursday 5 August 2010

Dialog Ramadhan : Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan


Sekarang bulan Sya'ban, kejap lagi bulan Ramadhan. Jom "warming up", sebelum Ramadhan datang mengetuk pintu rumah kita.