Thursday 8 September 2011

Islamkan Hari Raya dan Merdeka kita

Ketika menyambut ketibaan Syawal maka marilah kita sama-sama menghitung diri samada tarbiah sebulan Ramadhan telah mampu menundukkan hawa nafsu atau kita yang semakin tunduk pada hawa nafsu dan syaitan. Bagaimana dengan solat jemaah dan masjid semakin meriah atau kembali lengang kosong. Bagaimana dengan zikrullah dan amalan sunat yang lain semakin bertambah atau ditinggal terus. Bagaimana kita dengan al-Quran samada semakin rapat atau sudah disimpan dan dilupakan. Bagaimana dengan makan minum kita samada berhati-hati dengan menjaga halal haram dan tidak berlebihan atau lebih suka melempias nafsu makan hingga melebihi had dan membazir. Adakah kita layak melaungkan takbir kemenangan dengan kedatangan Syawal sedangkan kita tewas pada hawa nafsu dan syaitan terutama ketika menyambut hari raya. Ini jauh bezanya dengan pejuang Islam dahulu yang bukan sahaja berjaya menewaskan hawa nafsu malah berjaya mengalahkan musuh di medan perang seperti dalam peperangan Ahzab, Hunain yang berlaku dalam bulan Syawal.

Sesuai dengan sambutan hari raya pada tahun ini dalam susana sambutan hari Kemerdekaan negara kali ke-54 maka marilah kita sama-sama melihat perbezaan ketara antara 2 golongan yang menyambut 2 perayaan ini. Orang yang berjaya dalam tarbiah Ramadhan akan menyambut hari raya penuh kesyukuran dengan memperbanyakkan amal ibadat sedangkan golongan yang gagal dalam tarbiah Ramadhan biasanya akan memenuhi hari raya mereka dengan maksiat. Golongan yang betul-betul menghayati erti kemerdekaan maka mereka terus bersemangat untuk mengisikan kemerdekaan dengan ajaran dan roh Islam. Manakala golongan yang kedua dan gagal dalam menyambut kemerdekaan ialah golongan yang hanya mendabik dada seronok sambut merdeka dengan cara hiburan penjajah, berpakaian dan bergaul bebas seperti penjajah, mengagungkan pemikiran dan sistem perundangan penjajah. Golongan ini hanya tahu melaungkan kalimah merdeka sedangkan dirinya terus dijajah.

Penjajahan sesebuah bangsa dan negara kebanyakannya membawa suatu perubahan yang besar kepada rakyat dan keadaan negara yang terjajah. Kebiasaannya setiap penjajahan kuffar terhadap negara umat Islam akan membawa 3G yang menjadi matlamat utama penjajahan iaitu [1] God iaitu Tuhan atau agama penjajah, [2] Glory iaitu kemasyhuran dengan kejayaan penjajahan yang dilakukan dan [3] Gold iaitu mengaut keuntungan daripada hasil mahsul yang didapati di negara jajahan. Kedatangan Portugis ke Tanah Melayu dengan runtuhnya Empayar Kesultanan Melayu memulakan era penjajahan di negara kita. Penjahan kuffar ini bukan sahaja mengubah sistem politik, sosial dan ekonomi Islam kepada sistem ciptaan manusia malah penjajah turut berjaya melahirkan umat Islam yang berfikiran penjajah melalui sistem pendidikan yang begitu memberi kesan besar hingga hari ini. Penulisan sejarah yang diajar di sekolah dan universiti tidak banyak menyentuh berkenaan matlamat menghancurkan Islam melalui penjajahan sebaliknya lebih banyak disentuh hanya untuk mengaut emas dan rempah sahaja. Malah peranan ulama’ dan pejuang kemerdekaan yang betul-betul melawan penjajah digelapkan sebaliknya anak buah penjajah Bristish diagung-agungkan. Malah akhir-akhir ini suara marah kepada komunis begitu kuat bergema sedangkan cara pemikiran komunis terus subur antaranya menganggap agama sebagai candu masyarakat iaitu merbahaya dan boleh memundurkan negara jika agama dipegang kemas oleh rakyat. Golongan ini begitu takut jika rakyat kembali kepada Islam yang boleh menggugat kuasa mereka.

Kebanyakan Negara umat Islam yang sudah merdeka tetapi terus dipenjara. Mereka bangun melaungkan bahawa mereka telah bebas sedangkan mereka terus diberkas. Benarlah kata-kata seorang tokoh Islam bahawa kita tidak sepatutnya bergembira dengan kembalinya penjajah ke Negara mereka sebaliknya kita sepatutnya bergembira bila pemikiran, roh dan undang-undang penjajah hilang daripada terus membelenggu umat Islam dan Negara kita. Kita dapat saksi sendiri walau pun sudah 54 tahun kita merdeka namun penjajahan musuh Islam terus berlangsung tanpa tentangan malah dialu-alukan terutama melalui Propaganda Yahudi yang dinamakan senjata 5S. Senjata 5S yang dimaksudkan ialah [1] Song iaitu hiburan yang melalaikan, [2] Spirit iaitu mabuk arak dan dadah, [3] Sex iaitu meluasnya zina sehingga baru-baru ini akhbar memuatkan berita bagaimana sekolah mengandung di Melaka perlu tambah bangunan kerana semakin ramai mereka yang mengandung luar nikah ingin memasukinya. Yang seterusnya ialah [4] Sport iaitu sukan sehingga yang gila sukan tanpa rasa salah meninggalkan solat. Senjata yahudi ke [5] Smoke iaitu amalan merokok kerana kebanyakan syarikat rokok milik yahudi sedangkan yahudi begitu bersungguh melarang penganutnya daripada merokok ketika mereka menggalakkan orang lain untuk cepat mati dengan amalan merokok disamping menambah keuntungan dengan hasil jualan rokok.

Oleh itu sempena berada pada hari mulia dan bulan yang mulia marilah kita sama-sama memerdekakan diri kita daripada menjadi hamba kepada hawa nafsu dan syaitan serta musuh Islam. Biarlah takbir yang kita laungkan menyambut kemenangan menjadi hamba Allah bukan kembali menjadi hamba hawa nafsu dan syaitan. Biarlah laungkan merdeka yang kita laungkan menyambut kemenangan dalam menghalau sistem dan pemikiran penjajah keluar dari diri dan Negara tercinta bukan mulut kata benci penjajah sedangkan tindakan terus memuja penjajah. Islamkanlah sambutan hari raya kita. Islamkanlah sambutan hari merdeka Negara kita. Islamlah kita dalam semua cara hidup barulah kita berjaya dunia akhirat.

0 comments: