Thursday 8 September 2011

Hidup tak mahu susah?

Sesungguhnya meladeni perjuangan ini akan dihidangkan dengan pelbagai kesusahan. Bukan berjuang namanya jika tak mahu susah. Bukan ahli gerakan namanya jika tak mahu susah. Bukan perjuangkan Islam namanya jika tak mahu susah.

Para ulamak, murabbi dan ustaz kita sudah cukup lama dan telah berbuih mengajar serta mengingatkan ahli gerakan tentang peri pentingnya memahami tentang apakah yang sedang kita hadapi ini. Kehidupan yang akan kita lalui bukanlah kehidupan yang mudah. Hidup ini akan ditemani dengan kesusahan. Kerja lebih banyak daripada masa yang ada. Kesenangan orang lain belum tentu dapat kita raih. Tapi yang pasti, kesusahan kita orang biasa tak mungkin dapat rasa.

Mendukungi perjuangan ini perlu diletakkan pada nombor "wahid". Andai ia bertembung dengan urusan yang hampir sama penting seperti urusan keluarga, kerja dan lain-lain urusan dunia, ia boleh tidak jadi nombor "wahid" tapi ia tetap tidak boleh diabaikan. Lihatlah yang mana lebih aulawiat. Namun jika mengutamakannya akan mendapat ganjaran yang lebih daripada Allah. Berkata memang mampu, melaksanakannya agak payah. Sang ustaz pun terkadang dilema apabila menghadapi pilihan antara urusan dunia dan perjuangan, apatah lagi orang lebih lemah. Oleh kerana itulah perjuangan ini dikatakan sangat susah oleh manusia yang paling kita cintai. Tidak semua mahu menjadikannya pakaian dalam hidup.

Sabar adalah ubat yang paling mujarab menghadapi kesusahan ini. Tiap kali susah maka bersabarlah. Susah dan sabar itu perlu seiring. Jika terpisah, akan meranalah iman, tergugatlah tindakan. Ingatlah bahawa anda sedang menolong Allah dan Allah pasti akan menolong kalian. Sampai bila perlu sabar? Jawapannya, sampai akhir hayat yang dimiliki. Itupun jika nafas perjuangan kita sampai di tenggorokan tatkala malaikat maut melaksanakan amanahnya.

Satu lagi ubat mujarab ialah berhenti daripada melayari bahtera perjuangan ini. Pada masa ini, semua yang tidak dapat dimiliki semasa berjuang akan dimiliki semula. Yang paling jelas, Allah akan sibukkan kita dengan urusan dunia. Cubalah makan ubat ini. Tapi hati-hati ya... Kesannya amat buruk. Sehingga mampu membakar tubuh badan yang ada. Manakan tidak, syurga yang kita cuba gendong selama ini telah terlepas daripada gendongan. Yang sedang mengejar adalah neraka panas membara.









0 comments: