Tuesday 14 February 2012

BICARA SELEBRITI 2012 : HIBURAN DI MALAYSIA, KE MANA ARAH TUJUNYA?



BICARA SELEBRITI 2012

KELANTAN TRADE CENTRE

25 JANUARI 2012

Hiburan di Malaysia, ke mana arah tujunya?

Moderator

Amin Idris

Panelis

Nora Arifin

Mamat Khalid

Dr Zaharuddin Abdul Rahman

Sunday 18 September 2011

Bahaya bila orang jahil berlagak pandai

Imam al-Bukhari menyebut, kewajipan seorang Muslim sebelum beramal adalah berilmu. Jangan sesekali menghina dan memandang rendah akan kemampuan mereka yang memiliki ilmu. Islam melihat ilmu dan amal sebagai penyumbang kepada kehidupan bahagia di dunia dan akhirat. Allah berfirman yang bermaksud: “Katakanlah: Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakal yang dapat menerima pelajaran.” (Surah Az-Zumar, ayat 9).

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menginginkan soal yang berhubungan dengan dunia, wajiblah ia memiliki ilmunya dan barang siapa yang ingin (selamat dan berbahagia) di akhirat, wajiblah ia mengetahui ilmunya pula; dan barang siapa yang menginginkan kedua-duanya, wajiblah ia memiliki ilmu kedua-duanya pula.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Ilmu adalah elemen pembangunan yang penting dalam menjamin kelangsungan hidupnya hati kita.

Bagaimanapun akhir-akhir ini golongan yang tidak berilmu cenderung berlagak seperti mereka berilmu tinggi. Natijahnya membawa kepada porak peranda kehidupan manusia dan kemusnahan binaan ilmu yang sebenar. Secara bandingannya, seseorang doktor tidak dibenarkan memeriksa dan memberi ubat kepada pesakit melainkan setelah dia lulus dalam bidang perubatan dengan baik. Jika ahli akademik berlagak doktor dengan memberi ubat kepada pesakitnya tentulah memudaratkan pesakitnya. Seseorang itu tidak diluluskan kemampuannya membina bangunan tinggi melainkan setelah dia memiliki kelulusan dalam bidang binaan melalui ilmu seni bina yang dikuasainya. Jika dilakukan juga tanpa memiliki ilmu, pasti boleh menyebabkan berlaku keruntuhan bangunan walaupun dia mungkin mempunyai bakat dan gaya menjadi jurubina.

Elemen kemusnahan dan kerosakan terjadi apabila yang tidak berilmu dalam aspek pengurusan bercakap soal urusan umat, jahil berlagak seperti orang alim, menghafal sepatah dua ayat berlagak hafiz, bukan ulama mengaku dirinya ulama kononnya untuk dihormati dan dikagumi. Maka ketika itu bersedialah kita menerima akibatnya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada bukan ahlinya, maka tunggu saat kehancurannya.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Apa yang mendukacitakan, akhir-akhir ini lahir golongan disebut Rasulullah SAW sebagai Ruwaibidhah, golongan sebenarnya tidak berilmu tetapi dilihat berilmu, tidak berkelayakan tetapi cuba menonjolkan diri. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Akan datang kepada kalian masa yang penuh dengan tipu daya; ketika itu orang akan mempercayai kebohongan dan mendustakan kebenaran. Mereka mempercayai pengkhianat dan tidak mempercayai pembawa kebenaran. Pada masa itu, ruwaibidhah akan berbicara. Rasulullah SAW ditanya: Apakah itu ruwaibidhah? Lalu Rasulullah menyebut: Ruwaibidhah adalah orang bodoh (yang berbicara) urusan umat.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dari Abu Hurairah).

Sebenarnya tidak menjadi salah kepada golongan ini memberi pandangan dan pendapat tetapi masalahnya ilmu tidak cukup untuk bercakap atau memberi pandangan kepada sesuatu yang bukan bidang mereka. Al-Imam al-Sayuti menjelaskan, Al-Ruwaibidhah adalah orang lemah yang cuba mencampuri perkara besar dan berusaha untuk memperolehnya. Ingatlah bahawa bercakap tanpa berfikir adalah petanda betapa rendahnya ilmu dan rosaknya akhlak. Ilmu yang lahir dari tapisan mulut golongan berilmu menyumbang banyak faedah kepada ummah. Kata hikmat orang Arab, “orang yang tidak memiliki sesuatu tidak dapat memberikan sesuatu”.

Di sesetengah tempat kita dapat melihat seorang yang cekap berkomunikasi dan pandai berceramah terus diberi peluang berucap serta membuat pelbagai kupasan berkaitan isu agama. Keupayaannya berbicara seolah-olah dia menguasai kesemua disiplin ilmu dalam Islam. Apatah lagi ceramah boleh mendatang pendapatan lumayan maka ramai berusaha menjadi penceramah dengan menghafal ayat atau hadis lalu mentafsirkannya menurut digemarinya, bersesuaian keinginan semasa.

Besarlah kemungkaran yang berlaku apabila situasi ini diteruskan. Bukan sahaja boleh mencemarkan Islam, malah yang lebih teruknya apabila umat mula terkeliru kerana kenyataan mereka yang mengaku berilmu ini.

Wednesday 14 September 2011

Mat Sabu lawan Zainal Kling

Oleh : Ahmad Lutfi Othman

Sejarah memang memerihalkan perkara yang sudah berlalu, namun ia bukan benda mati, malah pentafsirannya cukup dinamik, hidup dan sentiasa berkembang, sehingga boleh merumuskan pelbagai persepsi. Fakta sejarah sukar dibohongi tetapi "pihak yang menang" mempunyai pengaruh tersendiri untuk "memesongkannya".

Begitulah menariknya polemik sejarah kemerdekaan negara, yang tiba-tiba saja menarik perhatian semua lapisan masyarakat mengikutinya daripada dekat, apabila ucapan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu disensasikan Utusan Malaysia dan hingga kini, selepas lebih dua minggu, masih menjadi tajuk utama akhbar dan berita TV.

Mat Sabu mungkin tidak mempunyai disiplin ilmu sejarah yang baik, seperti beberapa orang anggota Majlis Profesor Negara (MPN), misalnya Prof Zainal Kling dan Prof Ramlah Adam, namun beliau berupaya untuk memaksa "tafsiran baru" dibuat terhadap sejarah perjuangan menghalau penjajah.

Bagi saya, beliau berjaya -- melalui gaya tersendiri -- "menganjurkan" satu perdebatan yang sihat dan diharap membuahkan hasil yang positif dan adil kepada sejarah negara. Terjahan awal Zainal Kling yang mendakwa Tanah Melayu "tidak pernah terjajah", sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British, pastinya tidak terhenti di situ sahaja.

Dan tidak mustahil tafsiran Mat Sabu terhadap sejarah kemerdekaan negara akhirnya akan lebih diyakini khalayak berbanding dua profesor yang dikenali sebagai cukup rapat dan dekat dengan Umno itu. (Pengalaman saya membaca buku-buku Ramlah Adam dapat mengesan "kecurigaan" dan "buruk sangka" yang ketara kepada tokoh-tokoh golongan kiri, seperti Ahmad Boestamam dan lain-lain).

"Kalau bukan disebabkan media secara berlebihan memainkan isu ceramah Mat Sabu mengenai Mat Indera dan peristiwa Bukit Kepong, saya pasti ramai di kalangan kita tidak pernah kenal apa itu pertubuhan politik seperti PKMM (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malayu) atau API (Angkatan Pemuda Insaf)," kata seorang rakan, pensyarah kanan sains politik.

"Dan mungkin ada yang beranggapan lokasi Bukit Kepong itu berada di sekitar Kepong atau Jinjang," tambahnya, sambil ketawa. "Di sinilah hebatnya Mat Sabu. Sejarah yang mungkin dianggap sudah mati itu kembali segar-bugar. Kepada saya, biarlah orang berdebat siapa Mat Indera, dan pula siapa petualang dan pejuang kepada negara."

Zainal yang juga Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya MPN dalam sidang media di Putrajaya mendakwa, Tanah Melayu hanya terjajah selama dua tahun sewaktu pemerintah Malayan Union pada awal 1946 hingga akhir 1947 dan di zaman penjajahan Jepun. Beliau juga menafikan gerakan kiri sebagai golongan memperjuangkan kemerdekaan.

Kenyataan Zainal sebenarnya tidaklah mengejutkan. Ia dilihat mewakili aspirasi perjuangan Umno, yang lebih bertindak sebagai "perunding" dalam fasa-fasa akhir menuntut kemerdekaan. Ya, di sinilah menariknya perbahasan yang dicetuskan Mat Sabu itu, yang bakal menyerlahkan perbedaan besar di antara peranan Umno dengan parti-parti terdahulu yang diharamkan penjajah British.

Saya tidak pasti di manakah kedudukan penentang-penentang British, yang mempertaruhkan nyawa demi membebaskan tanahair daripada cengkaman penjajah seperti Bahaman, Mat Kilau, Tok Gajah, Dol Said, Maharajalela, Tok Janggut dan Rosli Dhobi, pada kacamata Zainal dan orang-orang seumpamanya?

Saya cuba membayangkan bagaimana sukarnya tokoh-tokoh awal, seperti Ibrahim Yaakub, Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ishak Haji Muhammad dan Ahmad Boestamam, yang membangkitkan kesedaran rakyat untuk menentang British.

Bukan mengenangkan kepayahan mereka diburu penjajah, dengan kelengkapan yang cukup minimum, tetapi kesukaran untuk meyakinkan anak bangsa sendiri -- terutama yang merasa selesa di bawah dagu orang putih -- bahawa mereka perlu bangun daripada lena yang panjang, selain menimbulkan kesedaran awal pemikiran politik.

Sebelum menubuhkan Kesatuan Melayu Muda (KMM) pada 1938, Ibrahim Yaakub memimpin gerakan pelajar, Ikatan Pemuda Pelajar pada 1929, seterusnya pada 1930, Ikatan Semenanjung Borneo, yang berpusat di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, sehinggalah British menghancurkan gerakan itu pada 1932.

Sekiranya nasionalis Umno hanya baru sedar untuk membebaskan diri daripada penjajahan selepas konsep Malayan Union diperkenalkan pada 1946, anak-anak Melayu yang terdidik di Timut Tengah, terutama di Universiti Al-Azhar sudah menjiwai roh kemerdekaan sejak awal 1900-an lagi, dipengaruhi mujaddid agung Islam seperti Jamaluddin Al-Afghani, Syeikh Muhammad Abduh dan Rashid Ridha.

Tidak hairanlah apabila majalah al-Imam, yang dikeluarkan pada 22 Julai 1906 di Singapura oleh tokoh-tokoh pembaharu Islam, Kaum Muda, mengungkapkan dengan jelas tujuan penerbitannya: "Mengingatkan mana yang lalai dan menjagakan mana yang tidur dan menunjukkan yang sesat dan menyampaikan suara yang menyeru dengan kebajikan."

Dari segi organisasi yang lebih teratur, perjuangan ini diteruskan dengan kelahiran Hizbul Muslimin di Gunung Semanggol, Perak, pada 14 Mac 1948, di bawah pimpinan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir. Dalam kenyataannya pada 26 April 1948, Dato Onn Jaafar mengingatkan satu lagi "bahaya dari gunung" dan menyifatkan "Parti Islam itu Merah". Onn berjaya menghasut British bahawa Hizbul Muslimin prokomunis.

Melalui Akta Darurat 1948, pada 29 Julai tahun sama, semua pemimpin Hizbul Muslimin, termasuk Abu Bakar, ditangkap dan dipenjarakan sehinggakan tiada yang tinggal untuk memimpin. Parti itu turut diharamkan. Ramai pengkaji menyifatkan penubuhan PAS pada November 1951 adalah kesinambungan dari perjuangan Hizbul Muslimin yang diharamkan penjajah itu.

Saya tidak bermaksud mahu bermain dengan fakta sejarah. Saya percaya perdebatan status Tanah Melayu, sama ada sebagai negara jajahan ataupun naungan British akan menarik pembabitan lebih ramai sejarahwan yang jujur dengan ilmunya untuk berkongsi pandangan.

Implikasi perbahasan itu juga menjangkaui skop yang jauh lebih besar, termasuk memberi kesan besar terhadap situasi politik terkini. Ia bukan lagi berlegar di sekitar kontroversi Mat Indera dan Bukit Kepong semata-mata. Dan inilah yang saya jangkakan dalam tulisan saya sebelum ini.

Isu ini mulanya dicetuskan oleh Utusan Malaysia bagi menjerat Mat Sabu dan PAS itu sendiri, iaitu sebuah parti yang dilihat bakal memberi saingan paling sengit buat Umno, khususnya untuk merebut simpati dan sokongan pengundi Melayu dalam PRU13. Ia juga diharapkan BN bagi menenggelamkan isu-isu membabitkan kepentingan rakyat, seperti kenaikan harga barangan dan pelbagai skandal kewangan, serta yang terbaru caj perkhidmatan enam peratus telefon prabayar.

Menjadi kelaziman kepada strategis Umno untuk meneropong kegiatan dan kenyataan pemimpin pembangkang dengan sehalus-halusnya, untuk dimanipulasi dan diputarbelitkan, bagi menggambarkan kepada rakyat kelemahan Pakatan Rakyat.

Saya boleh bersetuju dengan pandangan seorang rakan yang mengingatkan bahawa dalam PRU13 nanti kemenangan bukan ditentukan oleh kehebatan parti atau calon yang bertanding, tetapi difaktorkan oleh "kesilapan paling minimum" yang dilakukan parti atau calon berkenaan.

Maknanya, mereka yang melakukan kesilapan lebih banyak akan mudah untuk ditumpaskan.

Di peringkat awal, nampak kenyataan Mat Sabu mengenai Mat Indera itu (dan bukannya tentang sejarah kemerdekaan negara) seperti mudah dieksploit Umno, terutama kepada bekas anggota keselamatan dan orang-orang tua di kampung-kampung, tetapi apabila skop perbincangannya menjadi lebih meluas, saya yakin kedudukannya menjadi lebih seimbang.

"Saya rasa kesungguhan luar biasa media Umno menimbulkan isu Mat Sabu, Mat Indera dan sejarah kemerdekaan negara ini boleh menikam balik dirinya," rumus seorang penganalisis politik.

"Apa pun, saya ingatkan kepada pemimpin pembangkang, berhati-hatilah daripada terjebak dengan perangkap Umno menjelang pembubaran Parlimen. Banyak isu yang sedia memihak Pakatan Rakyat, selain menampilkan gabungan mantap yang diyakini rakyat untuk mengambil alih Putrajaya," tambahnya.

Sekurang-kurangnya kini terpampang dengan lebih jelas wajah Umno yang propenjajah, di mana pemimpinnya sejak sebelum merdeka sehinggalah hari ini, lebih memikirkan soal kepentingan dan kesenangan diri. Dengan kata lain, Umno dan British saling perlu-memerlukan.

Dalam buku Perniagaan British di Malaysia Pascapenjajah 1957-70 (terjemahan Institut Terjemahan Negara Malaysia, 2010), Nicholas J White mengungkapkan: "Pada masa bunga tahun 1959, usaha diambil pada peringkat menteri untuk mendekati pelbagai pemimpin perniagaan British bagi mendapatkan dana bagi membantu Perikatan dalam pilihan raya umum yang akan datang.

"Diharapkan M$500,000 dapat dikumpulkan daripada perniagaan Eropah. Oleh sebab wakil ekspatriat memang dijangka kehilangan tempat mereka dalam badan perundangan Malaysia pada akhirnya, maka Tan Siew Sin, Menteri Perdagangan dan Industri, menjelaskan bahawa firma British 'pasti menyumbang untuk menyokong kerajaan yang memegang tampuk kuasa, dan kerana (mereka) tidak mungkin mengharapkan layanan lebih baik daripada mana-mana parti yang lain berbanding dengan layanan oleh Perikatan, sudah tentu dasar yang baik bagi mereka adalah untuk berusaha sedaya upaya demi memastikan Perikatan terus memegang kuasa dengan besar'."