Friday 31 July 2009

Makanan bercampur lemak babi

Artikel ini aku petik daripada blog seorang pendakwah di Sandakan. Ust Kamaruddin Wahab namanya. Sengaja aku posting dalam blogku untuk panduan semua.

"Selesma babi sedang menjadi ancaman kepada penduduk dunia hari ini...", kataku dalam perhimpunan pagi itu di depan murid-murid.

"H1N1 ustaz...", salah seorang murid menjeritkan nama yang dipopularkan oleh media.

"Tidak, namanya selesma babilah tu...", tegasku.

Selesma yang yang mulanya dikenali dengan nama selesma babi telah dipopularkan sebagai H1N1. Kementerian Kesihatan Malaysia mengingatkan rakyat bahawa nama penyakit yang satu itu adalah influenza H1N1. Bukan selesma babi. Alasan murni yang diberikan ialah agar rakyat tidak memandang ringan penyakit tersebut kerana ia akan menyerang sesiapa sahaja sekalipun yang bukan makan babi.

Dalam satu kesempatan, aku bertanya kepada para pelajar dalam perhimpunan RMT tentang siapa di antara mereka yang sudah makan babi. Tidak seorang pun yang mengaku makan babi. Sememangnya babi adalah binatang yang paling dijauhi oleh orang Islam. Dari kalangan tua hatta kanak-kanak sekolah rendah menganggap babi adalah haiwan najis berat dan amat fobia sekali.

"Anda semua sudah makan babi...", tukasku mencabar.

"Isy...mana ada ustaz...", seorang murid perempuan yang agak matang membantah.

"Awak pernah makan coklat cardbury?", tanyaku.


" Saya suka makannya ustaz...", seorang murid perempuan lain mencelah.

" Coklat tersebut mengandungi lemak babi...", ujarku.

Aku telah membuat semakan terhadap coklat yang diimport itu. Ia mengandungi kod lemak babi.

"Anda pernah makan kek pandan atau kek coklat Apollo? London Swiss Roll?",lanjutku lagu.


Kegelisahan mula terpancar dari wajah mereka.

"Siapa yang pernah makan, bermakna dia pernah makan makanan yang ada lemak babi!", aku menjelaskan secara muktamad.

" Justeru tiada siapa antara kamu semua boleh rasa selamat daripada selesma babi",

"Mana ustaz tahu ada lemak babi?", seorang murid menyoal.

"Ustaz ada kod-kod yang mewakili lemak babi....kalau kamu semua ingin tahu, semak di belakang setiap bungkusan makanan yang kamu beli...jika ada kod tersebut, bermakna ia ada lemak babi",

Esoknya aku menampalkan senarai kod tersebut yang aku petik adaripada artikal Dr M. Amjad Khan dari Institut Penyelidikan Perubatan, USA.

Berikut adalah kod-kod lemak babi yang sering ditemui tercatat pada bungkusan makanan, khususnya yang diimport dari luar negara.

E100, E110, E120, E 140, E141, E153, E210, E213, E214, E216, E234, E252, E270, E280, E325, E326, E327, E334, E335, E336, E337, E422, E430, E431, E432, E433, E434, E435, E436, E440, E470, E471, E472, E473, E474, E475, E476, E477, E478, E481, E482, E483, E491, E492, E493, E494, E495, E542, E570, E572, E631, E635, E904.

Aku memberikan tugasan kepada murid-murid untuk mencari bungkusan makanan yang mengandungi kod tersebut. Pada hari seterusnya aku menerima banyak sekali aduan murdi-muridku tentang makanan yang mereka makan hari-hari tetapi mengandungi kod lemak babi.

"Berdosakan kami ustaz?", dalam keresahan kerana dikelilingi makanan bercampur lemak babi, mereka bertanya.

"Jika kita tidak tahu, kita tak berdosa....tetapi makanan itu bakal menggelapkan hati kamu...lalu kamu menjadi orang yang degil, sukar menerima nasihat dan juga pelajaran...", aku menerangkan efek yang timbul daripada memakan makanan seumpama itu.

"Tapi...ada yang mempunyai logo halal...", luah seorang murid.

"Logo halal boleh dipalsukan....kita wajib menyelidiki kalau kita ada caranya untuk memastikan ketulinan halalnya....kod yang ustaz berikan itu adalah bekalan buat kamu....", nasihatku buat mereka.

Sesungguhnya babi menjadi ancaman besar kepada orang beriman. Musuh-musuh orang beriman sentiasa mencari jalan untuk menindas ismah orang beriman. Alangkah sukarnya menjaga makanan. Semoga Allah memberikan kita semua kekuatan.

Rujukan : http://muridkyai.blogspot.com/

Monday 27 July 2009

Apa yang silap...???

KESILAPAN DALAM GAMBAR:

1. Solat Jemaah tidak dalam keadaan rapat = solat secara terasing, bukan solat jemaah namanya
2. Kelihatan seorang makmum membuntuti (membelakangi) kiblat
3. Dan seorang lagi makmum tidak khusyuk dalam solat
4. Takwilan kepada kehidupan realiti hidup muslim sekarang. Islam menjadi kepingan puzzle yang tidak bercantum.
5. Tafsiran lain pada gambar ini, anda tafsir lah sendiri.

Saturday 25 July 2009

Dosa Umpama Najis

Silakan anda umpamakan dosa itu seperti najis. Bagi orang yang normal dan waras akal fikirannya, sudah tentu tidak mahu mendekati najis. Apabila kita berjalan-jalan, tiba terlihat dek najis yang berada tidak jauh daripada kita, sudah tentu kita akan cuba menjauhinya.

Begitu juga jika kita sedang membawa kereta atu kenderaan lain, sudah pasti kita akan cuba mengelak daripada melanggar atau memijak najis tersebut. Jangankan hendak langgar, mendekati najis itu pun tidak mahu.

Satu situasi lagi, jika dengan tidak sengaja anda terpalit atau tersentuh dengan najis, sudah pasti anda akan cepat-cepat membersihkan naijs tersebut. Lebih-lebih lagi jika najis itu adalah najis mughallazah.

Jadi, apa tunggu lagi...??? Silakan anda umpamakan dosa itu seperti najis. Saya yakin, sedikit sebanyak anda akan meninggalkan maksiat itu. Jika tidak, sudah pasti anda akan terpalit dengan najis yang cuba anda elakkan itu.

Tuesday 21 July 2009

Pilihan Raya Dalam Hidup Manusia siri 3

Setiap masa manusia akan diuji dengan pelbagai cubaan. Hanya manusia yang bertaqwa mampu menghadapi ujian-ujian tersebut.

Di sinilah kerja Iblis bermula lagi. Malaikat pun berusaha untuk membantu menetapkan iman manusia. Maka, pilihan raya dalam hidup manusia pun bermula lagi.

Dari saat mata manusia terbuka hingga tertutup, pilihan raya itu akan terus berlangsung.

Hendak bangun solat subuh, ada pilihan raya..

Mahu baca al-Quran, ada pilihan raya..

Sebelum berzikir, ada pilihan raya..

Dalam perjalanan ke tempat kerja atau pengajian, ada pilihan raya..

Di tempat kerja atau pengajian, ada pilihan raya..

Jika mahu tunaikan solat Zohor, Asar, perlu pilihan raya...

Setiap langkah untuk pulang ke rumah, ada pilihan raya..

Terdetik niat untuk ke masjid, solat maghrib, dengar kuliah maghrib, solat Isya'...ada saja pilihan raya.

Pokok pangkalnya, setiap masa pilihan raya itu berlangsung dalam hidup kita.

Bagi yang kukuh imannya, pasti akan memangkah Malaikat dan...boleh jadi juga memangkah Iblis. Bagi yang miliki iman setipis kulit bawang, lebih-lebih la lagi.....

Apa-apa pun, sentiasalah berusaha memangkah Malaikat. Kata kawanku, "Iblis ini tidaklah kuat sangat. Ia umpama anjing yang kuat menyalak, apabila kita berani..maka dia pun akan takut. Begitulah juga Iblis ini.." Entahlah, betulkah begitu hakikatnya, yang penting sama-samalah kita terus berusaha meninggalkan maksiat dan tidak mengundi Iblis.

Saturday 18 July 2009

Pilihan Raya Dalam Hidup Manusia siri 2

Satu ketika lagi, proses Pilihan Raya diadakan ialah pada saat sakaratul maut seseorang manusia. Pada ketika inilah merupakan pilihan raya yang terbesar dalam hidup manusia. Umpama memangkah kertas undi untuk memilih kepimpinan negara. Bahkan ini lebih dahsyat dan hebat.

Manusia yang asalnya beriman kepada Allah dengan sehebat-hebat iman pun boleh kecundang akhirnya, apa lagi manusia yang tipis imannya.

Contohnya, kisah Barsisa.

Beliau merupakan seorang Tuan Guru, Ahli Ibadah yang cukup taat kepada Allah. Memiliki murid seramai 60 000 orang. Kehebatan muridnya, sehingga mampu terbang di awangan. Maka, sudah tentu beliau lebih hebat daripada itu.

Diringkaskan cerita, Iblis berusaha menyesatkan Barsisa selepas meminta izin daripada Allah. Iblis yang menyerupai ahli ibadah yang cukup taat.

Iblis duduk disebelah Barsisa dan berzikir. Dia tidak pulang ke rumah, tidak makan, tidak buang air dan buat perkara-perkara lain seperti manusia lain. Barsisa pun kagum dengan Iblis yang menyerupai ahli ibadah itu.

Barsisa pun bertanya, bagaimana dia boleh menjadi sehebat itu. Iblis pun berkata bahawa, dahulu dia seorang yang jahat. Dia membunuh, berzina dan minum arak. Akhirnya dia bertaubat dan kembali kepada Allah. Selepas banyak melakukan maksiat, kemudian bertaubat, dia merasakan betapa manisnya itu sehingga tidak peduli dengan makan, buang air, anak, isteri dan lain-lain.

Iblis pun menyarankan kepada Barsisa, jika dia pun mahu hebat sepertinya, dia perlu melakukan maksiat dahulu, kemudian bertaubat.
Akhirnya, selepas melalui proses pujukan.. Barsisa telah akur untuk minum arak sahaja. Ditakdirkan Allah, selepas Barsisa mabuk, Barsisa turut berzina dan kemudian membunuh perempuan yang dizinainya itu.

Barsisa ditangkap, kemudian di salib. Sebelum kematian Barsisa, beliau dirayu lagi untuk menyembah Iblis. Kerana terlalu takut dan mengharap pertolongan daripda Iblis, Barsisa pun akur untuk tunduk (menyembah) kepada Iblis dan mati dalam keadaan syirik.

Begitulah kisah Tuan Guru Barsisa yang beriman dan akhirnya mati dalam keadaan kufur. Kali ini, dan sejak awal lagi Barsisa telah mengundi Iblis.

Pilihan Raya Dalam Hidup Manusia siri 1

Setiap manusia akan menghadapi pilihan raya dalam hidup mereka. Ironinya, pilihan raya tersebut berlangsung setiap hari. Pilihan raya yang dimaksudkan, adalah pilihan raya untuk mengundi Malaikat atau Iblis.

Seawal pagi, saat subuh mula menjengah..Malaikat dan Iblis akan berkempen habis-habisan untukmerayu undi manusia. Jika Malaikat yang menang, Iblis akan bergerak sejauh-jauhnya daripada manusia.

Menurut Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, Iblis akan berasa sangat sakit dan seolah-olah terbakar apabila manusia bangun di kala subuh, mengambil wudhu dan mendirikan solat. Dia akan pergi sejauh-jauhnya daripada manusia kerana kesakitan itu. Dengan kata lain, manusia telah mengundi malaikat, maka Iblis tidak ada hak kepada manusia itu.

Namun, sebaliknya pula jika manusia mengundi Iblis disaat itu. Iblis akan terus kencing ditelinga manusia dan malaikat pun akan menjauhi manusia.

Sebelum itu, manusia yang hendak bangun dirayu oleh iblis untuk tidur semula.

Babak 1: saat mata terbuka jam 4.15 pagi

"Tidurla lagi, awal lagi. Subuh jam 4.40 pagi. Tak perlu ke masjid, esok saja ke masjid. Lagipun, subuh semalam sudah ke masjid juga. Nanti sebelum 4.40 pagi aku bangunla", bisik manusia kepada dirinya.
Manusia pun akur dan tidur semula.

Babak 2: terjaga 4.50 pagi

"Ngantuknya, baru 4.50 pagi. Kejapla lagi. Tidur sekejap lagi. Lagipun, subuh sampai jam 6. Lama lagi"

Akhirnya manusia pun akur dan tertidur semula.

Begitula, babak pujukan daripada Iblis terus bertambah. Sehingga akhirnya manusia terlepas solat subuh pada hari itu.

Kali ini, Manusia telah mengundi Iblis.

Thursday 16 July 2009

Polis Wanita Iran








SMS Maghrib

Maghrib itu, saat aku masih di pejabat, telefon bimbitku berbunyi. Nada deringnya berbunyi ayam berkokok. Bunyi seperti itu tandanya ada sms yang masuk. Kalau bunyi deringan telefon lama, ala-ala zaman P.Ramlee, itu tandanya ada panggilan masuk.

Kubaca mesejnya, daripada Abg Sahar;

Jom g kuliah Ust Bahtiar.

Aku balas mesejnya;

Hujan, tkandas kami dpjbt.

Kami yang kumaksudkan adalah aku dan sahabatku, Bunyamin (Abg Bun).
Memang biasanya pada malam Khamis (hari Rabu), kami akan ke Masjid Nurusyakirin, di Taman Indah Jaya untuk mendengar Kuliah Maghrib yang disampaikan oleh Ust Bahtiar. Tetapi, petang itu cuaca tidak mengizinkan. Hujan agak lebat. Kenderaan kami tidak mampu memberikan perlindungan daripada hujan. Maklum sajalah, kami hanya ada Motosikal Modenas.

Mesej daripada Abg Sahar kuterima lagi;

Dsni xhjn sdh.

Aku membalas;

Cni hujan lg. Mau lebat.

Bkn peluru n bom bah.., "tambah Abg Sahar"

Aku terkedu, tersentak...berfikir sejenak, kemudian kubalas lagi mesej itu;

Iya bang.

Abg Sahar menghantar mesej kepadaku lagi;

pakaila bju hujan..

Kemudian, kubalas dengan mesej paling ringkas.

K

Belum sempat kuceritakan hasratku untuk ke masjid kepada Abg Bun, tiba-tiba hujan mengganas lagi. Kubatalkan niatku. Lagipun, bersama kami cuma ada sepasang baju hujan. Tidak cukup untuk kami berdua.

Beberapa minit kemudian, menjelang Isyak, satu sms lagi kuterima;

Kenapa tak datang dengar kuliah Ust Bahtiar?

Sms dengan gaya bahasa protokol seperti ini, hanya biasa kuterima daripada seorang sahabat. Aku panggil dia Abg Ramlan, dan sms kali ini juga daripada beliau.

Kubalas mesejnya;

Hujan lebat dsni td bang.

Abg Ramlan pun respon dengan gaya bersahaja;

Ok.


Aku suka ada sahabat yang baik dan prihatin seperti mereka berdua. Sebenarnya, aku miliki ramai sahabat yang baik dan prihatin seperti mereka. Merekalah yang banyak membantuku di saat aku memerlukan.

Tetapi bukan itu yang ingin kukongsi kali ini.

Aku ringkaskan, mesej-mesej di atas sebenarnya satu nasihat dan teguran daripada sahabat. Mudahnya, jika kita ingin lakukan sesuatu..ia sebenarnya terpulang kepada kita.

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Begitulah signifikannya kita dalam dakwah ini. Untuk apa sahaja yang kita usahakan, jika kita betul-betul berusaha untuk melakukan sesuatu, sudah tentu akan ada jalan yang Allah tunjukkan.

Beringatlah, perjuangan ini adalah perjuangan Allah. Kita yang mengemudinya. Kita sedang membantu Allah dan Allah jua pasti akan membantu kita serta menetapkan pendirian kita.
Jika hujan air pun kita tidak mampu redah, bagaimana sekiranya Allah menguji kita dengan hujan peluru untuk memenangkan agamaNya.

Wednesday 15 July 2009

Attitude, Skill, Knowledge (ASK)

Attitude = Perangai / Sifat / Pendirian

Skill = Kemahiran

Knowledge = Pengetahuan / Ilmu

Begitulah perkongsian yang ingin saya canangkan kali ini.

Begini, bagi saya setiap pekerjaan yang kita lakukan perlulah meliputi tiga perkara di atas. Saya fokuskan kepada medan dakwah ini. Jika kita berhasrat untuk menjadi pendakwah @ dai'e yang baik, sewajarnya kita memiliki ketiga-tiga perkara di atas.

Attitude;

Perangai kita, sifat kita, pendirian kita mestilah jelas. Apa matlamat kita dalam perjuangan Allah ini. Adakah kerana harta, wanita atau takhta....???? Betulkah keyakinan kita sudah utuh seperti utuhnya keyakinan pejuang Islam zaman silam...??? Semuanya mesti jelas. Jika kita tidak yakin, mana mungkin kita mampu kekal dalam medan ini. Jika kita tidak sabar dan tahu bahawa perjuangan ini adalah perjuangan yang jauh, mana mungkin kita akan mampu kekal dalam perjuangan ini.

Lihat sahaja, visi Nabi tercinta kita sewaktu berdakwah di bumi Taif. Baginda dihina, dicerca, disakiti sehingga berdarah dan menjadi lemah. Kehadiran dan pelawaan malaikat pada waktu itu untuk mennghancurkan penduduk Taif tidak diterima oleh baginda.

Persoalannya kenapa..????

Jika kita yang berada di pihak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ketika itu, sudah pasti kita akan menerima pelawaan malaikat dek kerana kemarahan kita. Tetapi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tidak begitu, baginda melihat jauh dan berkata, jika bukan mereka yang akan memeluk Islam, mungkin anak cucu mereka akan memeluk Islam. Itulah visi baginda.

Jika kita mahu sampaikan Islam kita mestilah yakin dengan diri kita, yakin dan faham betul-betul dengan agama Allah ini. Jika perkara asas ini pun kita tidak miliki, saya bimbang kita akan gugur di tengah jalan.

Kedua, Skill..

Dalam medan dakwah ini amat perlulah kita memiliki kemahiran-kemahiran tertentu. Sebagai contoh, kita mungkin perlu petah berbicara. Saya pernah mendengar sahabat saya berkata, "kita perlulah berbicara kepada mad'u mengikut gaya bahasa mereka". Maksudnya begini, jika kita berdakwah kepada orang kampung...gaya bahasa kita perlulah seperti orang kampung. Jika dengan seorang profesional, kita pun perlu seperti mereka. Itulah contoh kemahiran.

Perlu kita faham dalam medan ini, orang yang kurang petah berbicara bukan tidak boleh berdakwah...apa jua kemahiran yang kita miliki amat diperlukan. Ada orang boleh berceramah, ada orang boleh menulis, ada orang boleh melukis, menyanyi, berniaga, ada yang punya kemahiran ICT.. Semua diperlukan dalam perjuangan ini. Atas faktor itulah kita duduk dalam satu jamaah. bukanlah perjuangan itu tanpa jamaah. Maka, jamaah tanpa ahli yang berkemahiran adalah lumpuh..!!!

Seterusnya; Knowledge..

Pengetahuan ataupun ilmu amat penting dalam medan ini. Melalui ilmu yang kita ada inilah yang mampu memagar kita daripada maksiat. Melalui ilmu inilah akhirnya boleh menatijahkan tarbiyyah yang baik dan berkesan kepada kita. Melalui ilmu ini jugalah kita mampu berdakwah dengan baik. baik dengan mad'u, mahupun dengan musuh.

Cuba bayangkan jika kita tidak miliki ilmu, pengetahuan, sudah pasti kita mudah kecundang saat berdepan dengan mad'u. Lebih hebat lagi, bagaimana mungkin kita mampu menepis dan melawan semua serangan musuh tanpa ilmu dan pengetahuan. Begitulah pentingnya ilmu pengetahuan kepada seorang dai'e.

Akhirnya, rangkuman pangkal huruf daripada perkataan di atas adalah ASK (Attitude, Skill dan Knowledge) ataupun dalam Bahasa Melayunya kita sebut, tanya, bertanya..

Seorang dai'e hendaklah banyak bertanya kepada mad'u nya. Bertanya khabar, bertanya tentang hal kerja, bertanya apa sahaja yang releven. Itulah permulaan langkah bagi seorang dai'e.. Pertanyaan yang berkesan akan membawa kepada hasil yang baik. Sehinggalah akan melahirkan bibit-bibit dakwah yang lain.

Itu sahajalah perkongsian untuk kali ini. Ini hanyalah satu perkongsian, jika ada yang tidak betul sila tegur saya.

Sekian.

Monday 13 July 2009

Keciciran

Ada pelbagai faktor yang menyumbang untuk terjadinya gejala keciciran dalam medan dakwah ini.

Menurut Fathi Yakan dalam buku tulisannya, 3 faktor utama berlakunya gejala keciciran ialah pertama; sebab-sebab yang berhubung dengan gerakan itu sendiri, kedua; sebab-sebab yang berkaitan dengan anggota individu dan ketiga; sebab-sebab tekanan yang menekan.

Daripada faktor-faktor diatas, Fathi Yakan telah menghuraikan secara lebih terperinci lagi berkenaan sebab-sebab berlaku keciciran.

Antaranya; gerakan lemah dari sudut tarbiyyah, berlaku pertikaian dalaman, anggota yang terlalu takut anggota melampau, anggota yang bermudah-mudah, tekanan daripada keluarga dan banyak lagi.

Pernah suatu ketika dahulu, saya bertanya kepada seorang ustaz; kenapa perlunya Allah adakan keciciran dalam medan dakwah ini.

Pertama ia adalah sebagai ujian kepada gerakan dan anggota tersebut.

Kedua, Allah ingin memebersihkan gerakan tersebut daripada ahli-ahli yang tidak sepatutnya berada dalam gerakan tersebut. Kerana denga mereka, amat mustahil gerakan tersebut akan mencapai kejayaan dalam perjuangan dakwah ini.

Sekian.

Tuesday 7 July 2009

Salam perkenalan.

Assalamu'alaikum dan salam sejahtera.

Salam perkenalan kepada semua pembaca. Inilah kali pertama aku menulis dalam blog ku sendiri. Sebelum ini, aku hanya bergiat dan menjadi admin kepada blog-blog persatuan dan kumpulanku.

Melalui blog tersebut, aku tidak dapat meluahkan pandanganku sendiri. Maklumlah, namanya pun blog persatuan, mestilah mewakili suara persatuan. Walaupun sebelum ini aku memiliki sebuah fotopages, namun ia masih belum mampu memuaskan keinginanku untuk berkarya.

Aku bukanlah siapa-siapa yang perlu diperhatikan. Aku hanya ingin mengambil iktibar daripada ulama'-ulama' terdahulu yang banyak menghasilkan karya agung dan menjadi rujukan umat hingga hari ini.

Aku juga bukanlah ulama' dan juga bukan ingin jadi seperti mereka ataupun menandingi mereka. Aku hanya ingin berusaha untuk mencontohi mereka, meneladani mereka, mengikuti mereka. Moga-moga ada manfaatnya di sisi Islam.

Sekali lagi, salam perkenalan dariku. Semoga blog yang ada ini akan menambahkan rencah dalam dunia blog ini.

Sekian.