Thursday 24 February 2011

Tinggalkan perkara yang tidak bermanfaat

Sebagai pejuang Islam, kita pasti tahu tentang hakikat bahawa kewajipan jauh lebih banyak dari masa yang ada kepada kita . Kata-kata ini (al waajibat aksara minal awqaat) sering diungkapkan oleh Imam Hassan al Banna sehingga ia menjadi mutiara bagi seorang yang bergelar pejuang.

Justeru itu , kita diajar supaya tidak membazirkan masa dengan perkara yang tidak mendatangkan faedah. Bersesuaian dengan mutiara kata itu, saya ingin membawakan satu hadis Nabi Muhammad SAW iaitu, "Sebahagian dari keindahan Islam seseorang itu ialah meninggalkan perkara yang tidak mendatangkan manafaat", Hadis Hasan Riwayat Imam Tarmizi , Ibnu Majah dan Imam Malik.

Perkara yang tidak mendatangkan manafaat ini tidak semestinya hanya dari perkara haram semata-mata tetapi juga dari perkara-perkara halal menurut hukum syara' namun ia tidak mendatang manafaat kepada kita. Contoh mudah ialah berbual kosong di kedai kopi, tidur hingga mencecah 7 atau 8 jam sehari, termenung dan berangan-angan . Sungguhpun perbuatan ini tidak membawa kepada haram tetapi ia telah mengambil banyak dari masa kita yang sememangnya terhad.

Gejala ini masih membelenggu sebahagian dari anggota jamaah Islam. Akhirnya banyak tugasan jamaah dan tanggungjawab atau amanah tidak berjaya dilaksanakan dengan baik. Kalau pun siap, ianya disiapkan dalam keadaan tergesa-gesa mengejar waktu dan akhirnya tidak menghasilkan kualiti yang tinggi dalam prestasi kerja sebagai seorang yang bergelar pejuang.

Sebagai seorang pejuang, kita sewajarnya peka dalam perkara seperti ini, kerana fail kita masih bertimbun di pejabat dan ianya belum disemak. Rancangan kerja kita telah berhabuk kerana belum diterjemah dalam tindakan. Lebih malang jika pejabat kita juga telah bersawang kerana lama kita tidak beroperasi. Kita seperti tidak ada masa untuk bertindak. Tidak tahu ke mana habisnya masa kita. Namun apa yang pasti, matahari terbit dan tenggelam dengan begitu pantas sedang tanggungjawab dan amanah masih terlalu banyak yang belum dilunaskan.

Cuba kita hitung sejenak bagaimana masa kita berlalu sementara tugas kita sebagai pejuang menuntut komitmen terhadap masa yang begitu tinggi daripada kita. Termenung di bilik air, khayal di kusyen empuk, asyik di kaca TV, berbual kosong di kedai kopi, berangan di meja makan, leka berchatting, tidur melewati batas, alpa bermain game, melayari blog-blog yang tidak mendatangkan faedah dan maklumat, bergayut di telefon dan berSMS dalam perkara yang tidak penting.

Sayugianya wahai sahabat seperjuangan, Tinggalkanlah perkara yang tidak mendatangkan manafaat kepada dirimu! Demikian itu sebahagian dari keindahan dan kecantikan Islam seseorang. Begitulah terlebih wajar bagi seorang muslim meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah swt lantaran ia pasti tidak mendatangkan manafaat .

0 comments: