Friday 11 February 2011

Maulidur Rasul



  1. Insya’Allah, minggu depan kita akan menyambut hari keputeraan Rasulullah SAW. Sebagaimana yang kita tahu dan faham, sambutan Maulidur Rasul sepatutnya bertujuan untuk memperingati kelahiran baginda Nabi Muhammad s.a.w atau yang lebih penting adalah perlantikan baginda menjadi Rasulullah.
  2. Setakat mengenang tarikh kelahiran semata-mata tanpa mengenengahkan inti risalah, mesej dan perjuangan yang dibawa oleh baginda Nabi adalah suatu kesilapan dalam pendekatan dan memahami keutamaan.
  3. Sambutan maulidur Rasul sangat mesti mensasarkan objektif mengajar mereka yang belum tahu, mengingatkan mereka yang lupa, mengukuhkan pegangan mereka yang telah dan masih ingat serta membetulkan mereka yang tersasar dari kehidupan yang ditunjuk oleh Rasul mereka. Kita ingin menyambut Maulidur Rasul dengan mengembalikan ingatan masyarakat kepada tatacara kehidupan yang layak untuk mendapat belas Allah dan syafaat Nabi di akhirat.
  4. Justeru, mengadakan dan menyertai sebuah perarakan dengan pakaian seragam, mengangkat sepanduk puji-pujian, sambil berselawat belum mampu membawa kita ke arah objektif itu. Bagi saya, banyak perkara yang lebih utama, wajar dan tepat untuk dilakukan seperti program kuliah dan ceramah sama ada di peringkat masjid, surau, sekolah, universiti sememangnya sudah tentu menjadi pilihan utama.
  5. Disamping itu, pihak kerajaan dan pihak swasta sewajarnya menggunakan ruang televisyen dan radio untuk memasuki rumah jutaan rakyat bagi menyampaikan mesej perjuangan Rasulullah.
  6. Ada cukup banyak kaedah yang boleh dianjurkan bagi mengembalikan ingatan kita kepada ajaran Rasulullah. Semua pihak perlu kreatif dalam menyampaikan mesej dakwah ini.
  7. Satu yang perlu ditegaskan bahawa sambutan ini perlu dirayakan setiap masa dan setiap hari bagi membuktikan kita adalah pengikut Rasulullah yang setia.

0 comments: