Tuesday 22 February 2011

Pembersihan Jiwa

Lazimnya umat Islam mampu untuk melakukan penyucian jasmani setiap hari namun gagal untuk menyucikan rohaniah dan jiwa mereka dalam satu jangka tempoh yang agak lama. Sebagai seorang mukmin,pembersihan jiwa adalah penting dalam kehidupan seharian kerana kita selaku hambaNya yang lemah acapkali melakukan kesilapan dan maksiat sama ada dalam sedar atau tidak disengajakan.Melalui pembersihan jiwa ini, kita dapat menginsafi segala kesilapan yang telah dilakukan, berazam untuk menjadi seorang mukmin yang lebih baik dan seterusnya mengamalkan 'amal makruf wa nahi mungkar'.


Imam Ghazali telah menyenaraikan 4 bahagian yang menjadi asas kepada akhlak yang mulia.
  1. Bijaksana - iaitu bagi seorang hamba Allah adalah puncak dalam membezakan perkara yang baik dan buruk.
  2. Berani - iaitu bilamana seseorang dapat menahan diri dari terus melakukan sesuatu yang buruk.
  3. Adil - iaitu kekuatan dalam jiwa yang dapat mengatasi sifat marah dan apa jua kemahuan syahwat yang ada didalam diri. Mampu membimbing syahwat kepada kebijaksanaan.
  4. Tazkiyatunnafs (pembersihan jiwa) - menahan kemahuan syahwat dengan mendidik supaya tunduk dengan petunjuk akal dan petunjuk wahyu.
Justeru,dengan menegakkan 4 asas ini, insyaAllah akhlak mahmudah yang lain dapat dimiliki oleh individu muslim itu.

Memandangkan betapa besarnya kepentingan tazkiyatunnafs dalam kehidupan,maka timbullah persoalan iaitu ;

Bagaimanakah cara untuk membersihkan jiwa?

  1. Jihad dengan tadribat (latihan). Dalam setiap latihan, sertakan dengan jihad dan kesungguhan. Antara cara yang boleh dilakukan sebagai permulaan adalah dengan memaksa diri untuk berubah. Namun harus diingatkan disini, proses perubahan ini perlu diniatkan hanya kerana Allah dan bukanlah bertujuan untuk membanggakan diri. Riak, 'ujub dan takabbur perlu dijauhi sepenuhnya kerana amalan yang dibayangi dengan unsur-unsur ini akan terbatal.
  2. Menempuh jalan yang berlainan dengan kehendak nafsu dan jiwa. Manusia telah dikurniakan akal dan nafsu dalam menjalani kehidupan. Seringkali akal tunduk kepada tuntutan nafsu kerana kurangnya iman dan amal. Menurut Imam ghazali dalam kitab al-ihya' ulumuddin, hati nurani disebut sebagai nafsu. Ia adalah jiwa manusia yang disifati dengan pelbagai sifat yang berbeza sesuai dengan perubahan keadaannya. 3 kategori nafsu manusia adalah; a) nafsu mutmainnah-tiada rasa utk membuat perkara mungkar dan terpelihara dari penyakit-penyakit hati. b) nafsu lawwamah - punya pertentangan antara membuat perkara yang baik dan keji. c) nafsu amarah - nafsu yang berkehendak dlm melakukan perbuatan yang keji. Oleh itu,mengikut jalan yang berlainan dengan tuntutan nafsu ini bermaksud melawan tuntutan nafsu amarah yang sering mengajak manusia kearah kejahatan.
  3. Jihad dan Pengorbanan. Jihad seringkali dikaitkan dengan pengorbanan. Ianya umpama dua elemen yang tidak dapat dipisahkan. Pengorbanan dalam konteks ini lebih dititik beratkan kepada mengorbanan kesenangan dan keseronokkan 'dunia' dalam meraih kesejahteraan abadi di akhirat.
  4. Yakin dengan pertolongan Allah. Setiap mukmin perlu meyakini bahawa janji Allah adalah benar. Justeru, kita perlu yakin dengan pertolongan Allah. Munajat dan panjatkan doa kepada-Nya dengan penuh azam dan harapan yang seterusnya diiringi dengan usaha dan tawakkal. Banyakkan membaca Al-quran kerana hanya dengan mengingati Allah, jiwa akan menjadi tenang.
  5. Dampingi orang yang soleh. Dengan mendampingi insan-insan seperti ini, kita akan lebih mudah menerima sebarang teguran yang mampu membina sahsiah yang tinggi. Kita juga dapat menimba ilmu agama dari pelbagai aspek selain dapat melakukan ibadah dengan lebih sempurna dengan berkat tunjuk ajar dari mereka.
  6. Menghadiri majlis-majlis ilmu. Tidak dapat dinafikan lagi, dengan menghadiri majlis-majlis ilmu, kita dapat membersihkan jiwa kerana didalam majlis-majlis ilmu terdapat tazkirah dan ilmu pengetahuan yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan seseorang muslim. Selain itu, telah dijanjikan kepada mereka yang pergi ke majlis-majlis ilmu kerana Allah pelbagai balasan yang baik. antara sebahagian dari hadith Rasulullah s.a.w " Barangsiapa yang keluar ke jalan Allah, maka dipermudahkan kepadanya jalan ke syurga...".
Diharapkan kita sama-sama dapat mengambil iktibar. Kalau kita boleh mandi setiap hari, kalau kita boleh gosok gigi 3 kali sehari, kalau kita boleh cuci muka dengan pelbagai pencuci muka. Kenapa tidak kita sucikan hati yang merupakan anggota yang begitu penting sekali dalam menentukan peringkat amalan kita. Sama-samalah kita berdoa agar hati kita sentiasa dibuka dalam menerima hidayah-Nya. Amin.

0 comments: