Thursday 16 July 2009

SMS Maghrib

Maghrib itu, saat aku masih di pejabat, telefon bimbitku berbunyi. Nada deringnya berbunyi ayam berkokok. Bunyi seperti itu tandanya ada sms yang masuk. Kalau bunyi deringan telefon lama, ala-ala zaman P.Ramlee, itu tandanya ada panggilan masuk.

Kubaca mesejnya, daripada Abg Sahar;

Jom g kuliah Ust Bahtiar.

Aku balas mesejnya;

Hujan, tkandas kami dpjbt.

Kami yang kumaksudkan adalah aku dan sahabatku, Bunyamin (Abg Bun).
Memang biasanya pada malam Khamis (hari Rabu), kami akan ke Masjid Nurusyakirin, di Taman Indah Jaya untuk mendengar Kuliah Maghrib yang disampaikan oleh Ust Bahtiar. Tetapi, petang itu cuaca tidak mengizinkan. Hujan agak lebat. Kenderaan kami tidak mampu memberikan perlindungan daripada hujan. Maklum sajalah, kami hanya ada Motosikal Modenas.

Mesej daripada Abg Sahar kuterima lagi;

Dsni xhjn sdh.

Aku membalas;

Cni hujan lg. Mau lebat.

Bkn peluru n bom bah.., "tambah Abg Sahar"

Aku terkedu, tersentak...berfikir sejenak, kemudian kubalas lagi mesej itu;

Iya bang.

Abg Sahar menghantar mesej kepadaku lagi;

pakaila bju hujan..

Kemudian, kubalas dengan mesej paling ringkas.

K

Belum sempat kuceritakan hasratku untuk ke masjid kepada Abg Bun, tiba-tiba hujan mengganas lagi. Kubatalkan niatku. Lagipun, bersama kami cuma ada sepasang baju hujan. Tidak cukup untuk kami berdua.

Beberapa minit kemudian, menjelang Isyak, satu sms lagi kuterima;

Kenapa tak datang dengar kuliah Ust Bahtiar?

Sms dengan gaya bahasa protokol seperti ini, hanya biasa kuterima daripada seorang sahabat. Aku panggil dia Abg Ramlan, dan sms kali ini juga daripada beliau.

Kubalas mesejnya;

Hujan lebat dsni td bang.

Abg Ramlan pun respon dengan gaya bersahaja;

Ok.


Aku suka ada sahabat yang baik dan prihatin seperti mereka berdua. Sebenarnya, aku miliki ramai sahabat yang baik dan prihatin seperti mereka. Merekalah yang banyak membantuku di saat aku memerlukan.

Tetapi bukan itu yang ingin kukongsi kali ini.

Aku ringkaskan, mesej-mesej di atas sebenarnya satu nasihat dan teguran daripada sahabat. Mudahnya, jika kita ingin lakukan sesuatu..ia sebenarnya terpulang kepada kita.

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Begitulah signifikannya kita dalam dakwah ini. Untuk apa sahaja yang kita usahakan, jika kita betul-betul berusaha untuk melakukan sesuatu, sudah tentu akan ada jalan yang Allah tunjukkan.

Beringatlah, perjuangan ini adalah perjuangan Allah. Kita yang mengemudinya. Kita sedang membantu Allah dan Allah jua pasti akan membantu kita serta menetapkan pendirian kita.
Jika hujan air pun kita tidak mampu redah, bagaimana sekiranya Allah menguji kita dengan hujan peluru untuk memenangkan agamaNya.

0 comments: