Wednesday 15 July 2009

Attitude, Skill, Knowledge (ASK)

Attitude = Perangai / Sifat / Pendirian

Skill = Kemahiran

Knowledge = Pengetahuan / Ilmu

Begitulah perkongsian yang ingin saya canangkan kali ini.

Begini, bagi saya setiap pekerjaan yang kita lakukan perlulah meliputi tiga perkara di atas. Saya fokuskan kepada medan dakwah ini. Jika kita berhasrat untuk menjadi pendakwah @ dai'e yang baik, sewajarnya kita memiliki ketiga-tiga perkara di atas.

Attitude;

Perangai kita, sifat kita, pendirian kita mestilah jelas. Apa matlamat kita dalam perjuangan Allah ini. Adakah kerana harta, wanita atau takhta....???? Betulkah keyakinan kita sudah utuh seperti utuhnya keyakinan pejuang Islam zaman silam...??? Semuanya mesti jelas. Jika kita tidak yakin, mana mungkin kita mampu kekal dalam medan ini. Jika kita tidak sabar dan tahu bahawa perjuangan ini adalah perjuangan yang jauh, mana mungkin kita akan mampu kekal dalam perjuangan ini.

Lihat sahaja, visi Nabi tercinta kita sewaktu berdakwah di bumi Taif. Baginda dihina, dicerca, disakiti sehingga berdarah dan menjadi lemah. Kehadiran dan pelawaan malaikat pada waktu itu untuk mennghancurkan penduduk Taif tidak diterima oleh baginda.

Persoalannya kenapa..????

Jika kita yang berada di pihak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ketika itu, sudah pasti kita akan menerima pelawaan malaikat dek kerana kemarahan kita. Tetapi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tidak begitu, baginda melihat jauh dan berkata, jika bukan mereka yang akan memeluk Islam, mungkin anak cucu mereka akan memeluk Islam. Itulah visi baginda.

Jika kita mahu sampaikan Islam kita mestilah yakin dengan diri kita, yakin dan faham betul-betul dengan agama Allah ini. Jika perkara asas ini pun kita tidak miliki, saya bimbang kita akan gugur di tengah jalan.

Kedua, Skill..

Dalam medan dakwah ini amat perlulah kita memiliki kemahiran-kemahiran tertentu. Sebagai contoh, kita mungkin perlu petah berbicara. Saya pernah mendengar sahabat saya berkata, "kita perlulah berbicara kepada mad'u mengikut gaya bahasa mereka". Maksudnya begini, jika kita berdakwah kepada orang kampung...gaya bahasa kita perlulah seperti orang kampung. Jika dengan seorang profesional, kita pun perlu seperti mereka. Itulah contoh kemahiran.

Perlu kita faham dalam medan ini, orang yang kurang petah berbicara bukan tidak boleh berdakwah...apa jua kemahiran yang kita miliki amat diperlukan. Ada orang boleh berceramah, ada orang boleh menulis, ada orang boleh melukis, menyanyi, berniaga, ada yang punya kemahiran ICT.. Semua diperlukan dalam perjuangan ini. Atas faktor itulah kita duduk dalam satu jamaah. bukanlah perjuangan itu tanpa jamaah. Maka, jamaah tanpa ahli yang berkemahiran adalah lumpuh..!!!

Seterusnya; Knowledge..

Pengetahuan ataupun ilmu amat penting dalam medan ini. Melalui ilmu yang kita ada inilah yang mampu memagar kita daripada maksiat. Melalui ilmu inilah akhirnya boleh menatijahkan tarbiyyah yang baik dan berkesan kepada kita. Melalui ilmu ini jugalah kita mampu berdakwah dengan baik. baik dengan mad'u, mahupun dengan musuh.

Cuba bayangkan jika kita tidak miliki ilmu, pengetahuan, sudah pasti kita mudah kecundang saat berdepan dengan mad'u. Lebih hebat lagi, bagaimana mungkin kita mampu menepis dan melawan semua serangan musuh tanpa ilmu dan pengetahuan. Begitulah pentingnya ilmu pengetahuan kepada seorang dai'e.

Akhirnya, rangkuman pangkal huruf daripada perkataan di atas adalah ASK (Attitude, Skill dan Knowledge) ataupun dalam Bahasa Melayunya kita sebut, tanya, bertanya..

Seorang dai'e hendaklah banyak bertanya kepada mad'u nya. Bertanya khabar, bertanya tentang hal kerja, bertanya apa sahaja yang releven. Itulah permulaan langkah bagi seorang dai'e.. Pertanyaan yang berkesan akan membawa kepada hasil yang baik. Sehinggalah akan melahirkan bibit-bibit dakwah yang lain.

Itu sahajalah perkongsian untuk kali ini. Ini hanyalah satu perkongsian, jika ada yang tidak betul sila tegur saya.

Sekian.

0 comments: