Tuesday 1 September 2009

Kisah Ramadhan 3: Tarawih; antara 8 dan 20

Beberapa hari yang lalu saya disapa oleh seorang adik di kampung. Dia bertanyakan tentang bilangan rakaat dalam Solat Tarawih. Lebih kurang begini dialognya;

"Bang, bolehkah Solat Tarawih 8 rakaat..?, " Kata seorang adik.

"Boleh," jawabku.

"Kalau buat 20 rakaat..?, " Tanya adik itu lagi.

"Berapa-berapa pun boleh, 8 pun boleh, 20 pun boleh, 4 pun boleh, 36 pun boleh.... asalkan kita ikhlas, " Jawabku lagi.

"Solat tarawih tidak dibatasi jumlah rakaatnya secara wajib. Jika kamu mahu solat sepanjang malam pun boleh," Tambahku...

Berdasarkan sabda Rasulullah shallawahu ‘alaihi wasallam :

عن ابن عمر قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : " صلاة الليل مثنى مثنى فإذا خشي أحدكم الصبح صلى ركعة واحدة توتر له ما قد صلى "

Dari Ibnu Umar radhiallahu anhu berkata : Rasulullah shallawahu ‘alaihi wasallam bersabda : “ sholat malam itu dua, dua maka apabila salah seorang dari kalian kuatir datangnya waktu subuh, hendaklah dia solat satu rakaat untuk mengganjilkan rakat yang telah dia solatkan“. HR Bukhari dan Muslim.

**************************************


Masjid-masjid dan surau-surau di sekitar Sandakan sekarang mengadakan Solat Sunat Tarawih sebanyak 20 rakaat. Namun demikian, ramai jemaah yang hadir lebih gemar untuk mendirikan solat tarawih sebanyak 8 rakaat. Sehinggakan apabila selesai 8 rakaat, masjid/surau yang tadi penuh dengan jemaah semakin berkurangan kepada separuh. Bahkan ada yang tinggal beberapa saf sahaja (lebih kurang 30% daripda jemaah asalnya).

Apabila keadaan ini berlaku, ada terdengarlah rungutan-rungutan daripada AJK Masjid, Majlis Agama dan sebagainya.

Agama Islam umpama perniagaan/produk. Da'ie adalah peniaga, dan mad'u adalah pembeli/pelanggan. Bagaimana kehendak pelanggan, begitulah yang sepatutnya peniaga lakukan selagi mana ia tidak bercanggah dengan Islam.

Dalam konteks ini, apa salahnya jika Majlis Agama mewajibkan semua masjid/surau untuk mendirikan Solat Tarawih hanya 8 Rakaat dengan sedikit tambahan.

Maksudnya begini, 8 Rakaat itu didirikan dengan bacaan-bacaan yang lebih panjang sedikit. Kemudian, selepas rakaat ke 4 sampaikanlah sedikit tazkirah dalam 3 ke 5 minit.

Saya fikir, kaedah seperti ini lebih baik. Disamping kita solat tarawih, kita juga akan mendengar tazkirah. Bukan selalu masjid/surau mendapat tetamu yang ramai seperti bulan Ramadhan ini.

Berbanding jika solat 20 rakaat, akan ada timbul perbezaan dikalangan jemaah. Bahkan ada imam-imam yang membaca al-fatihah dengan kelang-kabut sehingga merosakkan solat. Rugi kita...!!!

Fikir-fikirkanlah.

0 comments: