Wednesday 25 August 2010

Islamnya Malaysia hanya pada nama.

Jika ditelusuri hari-hari yang berlalu ini, aku jarang sekali melihat televisyen kecuali sedikit pada waktu malam dan akhir-akhir ini di siang hari. Agak teruja aku melihat cerita-cerita dan wayang gambar yang dipertontonkan di televisyen pada saat ini. Daripada cerita animasi kanak-kanak sehingga kepada drama bersiri untuk orang dewasa, semua hampir berkisar tentang Islam dan baiknya nilai Islam itu sendiri.


Anak-anak dihidangkan dengan cerita animasi tentang nabi, tauladan dan kisah-kisah yang boleh mengujakan mereka untuk berubah.


Bapa-bapa, ibu-ibu dan golongan dewasa yang lain diberi santapan rohani berupa drama yang menyedarkan. Drama yang selalu melastik iman si dewasa dan pelbagai lagi drama serta cerita yang mampu membuatkan si dewasa berfikir tentang tujuan kejadiannya di dunia ini.

Bahkan, jika ada lagu-lagu hiburan di televisyen hanyalah yang berkonsepkan Islam , ketuhanan dan sebagainya. Hampir tidak ada artis yang berpakaian menjolok mata.

Anehnya, aku gusar melihat perkembangan media masa kini apabila menayangkan cerita-cerita bergenre seperti ini hanya pada Bulan Ramadhan. Paling hebat pun apabila adanya perayaan-perayaan Islam yang lain seperti Maulidur Rasul dan Maal Hijrah barulah suasana seperti ini muncul semula.

Jika anda semua perasan bukan sahaja media yang akan jadi Islamik seketika apabila Bulan Ramadhan atau perayaan Islam yang lainnya tiba, malah kedai-kedai, syarikat-syarikat, agensi-agensi kerajaan dan pelbagai lagi akan turut terkena tempiasnya. Semua akan memikirkan tentang Islam dan mulalah mencari ustaz-ustaz untuk bertanya soalan, perlu ini dan itu serta pelbagai lagi. Paling kurang pun, ustaz itu diguna untuk membaca doa, tahlil dan yasin.

Malangnya, suasana seumpama ini tidak akan kekal seiring dengan perjalanan masa itu. Lihat sajalah nanti, selepas Ramadhan ini tv-tv kita akan mula menayangkan program-program maksiat semula. Semua yang ingat tentang Islam tadi akan lupa semula dan kembali kepada perangai jahat mereka.

Semuanya berlaku dek kerana Malaysia melihat Islam ini hanya pada masa-masa tertentu. Gunanya agama yang suci ini hanya ketika dan waktu tertentu. Tidak untuk sehari-hari dan setiap masa.

Oh pemerintahku, sedarkanlah rakyat yang ada dibawah jagaanmu ini tentang Islam itu yang sebenar. Jangan biarkan mereka hanyut dengan fikrah yang tidak betul. Kita bimbang, engkau lebih banyak diazab oleh Allah nanti berbanding si rakyat.

0 comments: