Tuesday, 4 May 2010

Mari ke rumah sakit.

Hari ini hampir sehari aku di Hospital Duchess of Kent, Sandakan. Pagi untuk urusan temujanji dengan doktor pakar. Petangnya untuk fisioterapi. Lama aku menunggu giliran untuk bertemu doktor pakar. Bukan sekali begini. Tapi hampir setiap kali aku ke sini untuk temujanji dengan doktor pakar, beginilah situasi yang akan kuhadapi.



Sebenarnya, bukan itu isu yang ingin kubawakan.

Semua pun sedia maklum, jika orang ke hospital hampir 80% dengan tujuan untuk berubat. Nah, inilah yang ingin kusebutkan di sini. Wajah-wajah sakit ini sedikit sebanyak akan menyentuh iman kita, betapa kita yang sihat ini agak beruntung. Kalau pun sakit, tapi ada orang yang lebih teruk sakitnya berbanding kita.

Melalui pengalamanku menginap di hospital selama 13 hari semasa awal sakitku dulu, pelbagai situasi manusia sakit yang kutemui. Ada yang putus jari kaki. Ada yang mati separuh badan. Ada yang kepala ditebuk dan diletakkan pemberat untuk kembalikan keseimbangan. Ada yang bersambung dengan macam-macam jenis hos dan alat bantuan, manusia ini akhirnya mengakhiri hidupnya di wad tempat aku dirawat.

Alhamdulillah, banyak manfaatnya untuk aku.

Para pembaca yang budiman, sesekali jika ada masa lapang cubalah datang ke hospital yang berhampiran. Muhasabahlah diri kita di sini. Jika tempat ini masih tidak cukup, cuba datang ke rumah orang-orang tua atau ke kawasan setinggan. Errrmmmm.....paling kurang pun, cubalah datang ke tanah perkuburan.

Moga-moga ada manfaatnya untuk semua.

0 comments: