Thursday, 8 September 2011

Islamkan Hari Raya dan Merdeka kita

Ketika menyambut ketibaan Syawal maka marilah kita sama-sama menghitung diri samada tarbiah sebulan Ramadhan telah mampu menundukkan hawa nafsu atau kita yang semakin tunduk pada hawa nafsu dan syaitan. Bagaimana dengan solat jemaah dan masjid semakin meriah atau kembali lengang kosong. Bagaimana dengan zikrullah dan amalan sunat yang lain semakin bertambah atau ditinggal terus. Bagaimana kita dengan al-Quran samada semakin rapat atau sudah disimpan dan dilupakan. Bagaimana dengan makan minum kita samada berhati-hati dengan menjaga halal haram dan tidak berlebihan atau lebih suka melempias nafsu makan hingga melebihi had dan membazir. Adakah kita layak melaungkan takbir kemenangan dengan kedatangan Syawal sedangkan kita tewas pada hawa nafsu dan syaitan terutama ketika menyambut hari raya. Ini jauh bezanya dengan pejuang Islam dahulu yang bukan sahaja berjaya menewaskan hawa nafsu malah berjaya mengalahkan musuh di medan perang seperti dalam peperangan Ahzab, Hunain yang berlaku dalam bulan Syawal.

Sesuai dengan sambutan hari raya pada tahun ini dalam susana sambutan hari Kemerdekaan negara kali ke-54 maka marilah kita sama-sama melihat perbezaan ketara antara 2 golongan yang menyambut 2 perayaan ini. Orang yang berjaya dalam tarbiah Ramadhan akan menyambut hari raya penuh kesyukuran dengan memperbanyakkan amal ibadat sedangkan golongan yang gagal dalam tarbiah Ramadhan biasanya akan memenuhi hari raya mereka dengan maksiat. Golongan yang betul-betul menghayati erti kemerdekaan maka mereka terus bersemangat untuk mengisikan kemerdekaan dengan ajaran dan roh Islam. Manakala golongan yang kedua dan gagal dalam menyambut kemerdekaan ialah golongan yang hanya mendabik dada seronok sambut merdeka dengan cara hiburan penjajah, berpakaian dan bergaul bebas seperti penjajah, mengagungkan pemikiran dan sistem perundangan penjajah. Golongan ini hanya tahu melaungkan kalimah merdeka sedangkan dirinya terus dijajah.

Penjajahan sesebuah bangsa dan negara kebanyakannya membawa suatu perubahan yang besar kepada rakyat dan keadaan negara yang terjajah. Kebiasaannya setiap penjajahan kuffar terhadap negara umat Islam akan membawa 3G yang menjadi matlamat utama penjajahan iaitu [1] God iaitu Tuhan atau agama penjajah, [2] Glory iaitu kemasyhuran dengan kejayaan penjajahan yang dilakukan dan [3] Gold iaitu mengaut keuntungan daripada hasil mahsul yang didapati di negara jajahan. Kedatangan Portugis ke Tanah Melayu dengan runtuhnya Empayar Kesultanan Melayu memulakan era penjajahan di negara kita. Penjahan kuffar ini bukan sahaja mengubah sistem politik, sosial dan ekonomi Islam kepada sistem ciptaan manusia malah penjajah turut berjaya melahirkan umat Islam yang berfikiran penjajah melalui sistem pendidikan yang begitu memberi kesan besar hingga hari ini. Penulisan sejarah yang diajar di sekolah dan universiti tidak banyak menyentuh berkenaan matlamat menghancurkan Islam melalui penjajahan sebaliknya lebih banyak disentuh hanya untuk mengaut emas dan rempah sahaja. Malah peranan ulama’ dan pejuang kemerdekaan yang betul-betul melawan penjajah digelapkan sebaliknya anak buah penjajah Bristish diagung-agungkan. Malah akhir-akhir ini suara marah kepada komunis begitu kuat bergema sedangkan cara pemikiran komunis terus subur antaranya menganggap agama sebagai candu masyarakat iaitu merbahaya dan boleh memundurkan negara jika agama dipegang kemas oleh rakyat. Golongan ini begitu takut jika rakyat kembali kepada Islam yang boleh menggugat kuasa mereka.

Kebanyakan Negara umat Islam yang sudah merdeka tetapi terus dipenjara. Mereka bangun melaungkan bahawa mereka telah bebas sedangkan mereka terus diberkas. Benarlah kata-kata seorang tokoh Islam bahawa kita tidak sepatutnya bergembira dengan kembalinya penjajah ke Negara mereka sebaliknya kita sepatutnya bergembira bila pemikiran, roh dan undang-undang penjajah hilang daripada terus membelenggu umat Islam dan Negara kita. Kita dapat saksi sendiri walau pun sudah 54 tahun kita merdeka namun penjajahan musuh Islam terus berlangsung tanpa tentangan malah dialu-alukan terutama melalui Propaganda Yahudi yang dinamakan senjata 5S. Senjata 5S yang dimaksudkan ialah [1] Song iaitu hiburan yang melalaikan, [2] Spirit iaitu mabuk arak dan dadah, [3] Sex iaitu meluasnya zina sehingga baru-baru ini akhbar memuatkan berita bagaimana sekolah mengandung di Melaka perlu tambah bangunan kerana semakin ramai mereka yang mengandung luar nikah ingin memasukinya. Yang seterusnya ialah [4] Sport iaitu sukan sehingga yang gila sukan tanpa rasa salah meninggalkan solat. Senjata yahudi ke [5] Smoke iaitu amalan merokok kerana kebanyakan syarikat rokok milik yahudi sedangkan yahudi begitu bersungguh melarang penganutnya daripada merokok ketika mereka menggalakkan orang lain untuk cepat mati dengan amalan merokok disamping menambah keuntungan dengan hasil jualan rokok.

Oleh itu sempena berada pada hari mulia dan bulan yang mulia marilah kita sama-sama memerdekakan diri kita daripada menjadi hamba kepada hawa nafsu dan syaitan serta musuh Islam. Biarlah takbir yang kita laungkan menyambut kemenangan menjadi hamba Allah bukan kembali menjadi hamba hawa nafsu dan syaitan. Biarlah laungkan merdeka yang kita laungkan menyambut kemenangan dalam menghalau sistem dan pemikiran penjajah keluar dari diri dan Negara tercinta bukan mulut kata benci penjajah sedangkan tindakan terus memuja penjajah. Islamkanlah sambutan hari raya kita. Islamkanlah sambutan hari merdeka Negara kita. Islamlah kita dalam semua cara hidup barulah kita berjaya dunia akhirat.

Salam Aidilfitri

Posting ini sepatutnya diterbitkan pada 29 Ramadhan 1432 H yang lalu.

Selamat hari raya Aidilfitri diucapkan kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat. Kita baru sahaja melalui tarbiah Ramadhan yang merupakan suatu proses dalam melahirkan hamba Allah yang bertaqwa. Justeru anak muda ingin menyeru kepada semua agar mengambil perhatian terhadap perkara-perkara berikut:

1) Penuhi hari raya kita dengan amal ibadat disamping menjauhi larangan Allah seperti membuka aurat, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, hiburan melampau dan sebagainya.

2) Buktikan diri kita sebagai hamba Allah bukannya hamba Ramadhan. Jangan pada bulan Ramadhan sahaja kita melawan hawa nafsu sedangkan bila menyambut hari raya maka kita menjadi hamba kepada nafsu yang menyuruh kepada kejahatan.

3)Jangan jadi golongan yang keluar daripada Ramadhan dalam keadaan dosanya belum lagi diampuni oleh Allah. Tidakkah kita berasa malu menyambut hari raya dengan amalan maksiat sedangkan hari raya adalah anugerah Allah. Kita tidak mahu termasuk dalam golongan yang jauh daripada rahmat Allah.


4) Gema takbir membesarkan Allah dan tahmid memuji Allah yang berkumandang setiap kali tibanya hari raya mestilah meresap ke dalam hati sanubari bukan setakat disebut di mulut sahaja. Pastikan laungan hari raya itu dijadikan ikrar taat setia kepada Allah dalam setiap tindak tanduk kita. Laksanakan apa yang dinyatakan di dalam gema takbir dan tahmid itu.

5) Nikmat hari raya ini mesti digunakan untuk merapatkan lagi hubungan kekeluargaan dan silaturrahim sesama kita. Jadikanlah hari raya untuk menyuburkan kembali kasih sayang supaya kita tidak termasuk dalam golongan yang memutuskan silaturrahim.

6) Ingatlah Islam meletakkan ibubapa di tempat yang mulia. Keredhaan Allah terletak kepada keredhaan ibubapa, kemurkaan Allah terletak kepada kemurkaan ibubapa. Mohonlah keampunan daripada mereka. Sekiranya ibubapa kita telah meninggal dunia jangan lupa untuk kita doakan kesejahteraan mereka ketika berada di alam barzakh dan akhirat nanti.

7) Berlalunya Ramadhan bukan bererti berpisahnya kita daripada hidup bersama al-Quran. Bukan sahaja dari sudut pembacaan malah meliputi pemahaman seterusnya pelaksanaan. Terusakan membaca, mentadabbur dan paling penting melaksanakan sistem al-Quran dalam setiap aspek kehidupan termasuk ibadat khusus, ekonomi, politik, sosial dan sebagainya.

8) Takbir kemenangan yang dilaungkan adalah tanda kejayaan dalam Tarbiah Ramadhan yang telah kita sama-sama lalui. Tapi jangan kita lupa kepada saudara kita yang berada di Palestin, Iraq, Afghanistan, Selatan Thailand yang dilanda peperangan. Tidak ketinggalan krisis kebuluran dan perang saudara di Somalia yang memerlukan perhatian dan bantuan yang sewajarnya daripada kita semua. Juga beberapa negara umat Islam yang lain sedang menghadapi perang saudara kerana mahu menggantikan pemimpin yang zalim seperti di Syria setelah musuh Islam memainkan peranan besar dalam menggulingkan Gaddafi di Libya. Tumbangnya pemimpin diktator satu demi satu terutama di bumi Arab dan Afrika bermula di Tunisia diikuti Mesir merebak ke Yaman menyedarkan semua pihak bahawa tiada kerajaan yang mampu kekal terutama jika diperintah secara zalim. Kita doakan semoga pertukaran pemimpin baru lebih menguntungkan Islam dan umatnya bukannya meneruskan lagi kezaliman dan jahiliah pemimpin sebelum ini.

Pengkhianat atau pejuang

  1. ‎Sejarah tercatat bakal menyaksikan dua manusia, pengkhianat atau pejuang. Apabila memandang skop penjajah, hampir semua pejuang tanah air dianggapnya pengkhianat…antaranya Tok Janggut, Tok Ku Paloh, Hj Abdul Rahman Limbong, Mat Salleh, Dato Bahaman…sejak aku belajar sejarah, UMNO lebih ditonjolkan sebagai hero kemerdekaan negara. Aku percaya, sebab waktu aku ambil exam SPM…ikut saja fakta dalam buku teks….
  2. Mengapa orang belajar agama seperti para ulama yang menuntut kemerdekaan ketika itu dilabel “berhaluan kiri” dan “gerakan bawah tanah”…? Kenapa orang yang menentang Komunis dilabel hero sedangkan yang menentang British dianggap pengkhianat…? Tok Janggut dulu menentang British, Tok Janggut dilabel sebagai pengkhinat…Mat Indera juga menentang British (melalui PKM) juga dilabel pengkhinat…siapa pejuang pula? Memang aku serabut fikir benda tu dulu…tapi dah nak exam SPM, aku hafal dan hadam saja sejarah buku teks tu.
  3. Dah besar sikit, aku mula lebih mengenali. Lebih2 lagi apabila aku baca buku-buku karangan Ust Ridhuan Mad Noor yang menceritakan peranan Ulama Ketika Zaman Kemerdekaan, dan beberapa lagi buku sejarah terutama kebangkitan Islam di Malaysia. Baru aku faham…buku teks sejarah yang baca dulu masih samar-samar tentang erti sejarah yang sebenar, golongan agama tidak akan ditonjolkan sebagai pejuang sebenar tetapi yang mampu “berbaik” dengan penjajah itu adalah hero sebenar kemerdekaan.
  4. Tak semudah itu British memberikan kemerdekaan melainkan ditinggalkan pasak yang kukuh kepada tanah jajahan. Justeru, jadilah diri untuk perjuangan yang asli demi agama bangsa dan negara. Aku mengucapkan Selamat Hari Merdeka kepada semua pejuang dan “pengkhianat” negara kerana perjuangan mereka kita menghirup keamanaan sekarang. AL Fatihah.